Terkini
MAPPIM, GAPENA gagal rayu cabar penggunaan bahasa Tamil, Mandarin di sekolah vernakular
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan dua badan bukan kerajaan (NGO) untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.
- Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan dua badan bukan kerajaan (NGO) untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.
- Melalui penghakiman majoriti 2-1, panel dipengerusikan Datuk Mary Lim Thiam Suan bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang menolak permohonan kebenaran dikemukakan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA).
- Manakala, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil pula memberikan keputusan berbeza dengan mengambil pendirian merit rayuan kes itu perlu didengar.
- Memetik media tempatan, Thiam Suan dalam keputusan majoriti dilaporkan sebagai berkata mahkamah tidak berpuas hati untuk menggunakan budi bicara bagi memberikan kebenaran atas persoalan perlembagaan yang dipinda.
KUALA LUMPUR — Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan dua badan bukan kerajaan (NGO) untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.
Melalui penghakiman majoriti 2-1, panel dipengerusikan Datuk Mary Lim Thiam Suan bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang menolak permohonan kebenaran dikemukakan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA).
Manakala, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil pula memberikan keputusan berbeza dengan mengambil pendirian merit rayuan kes itu perlu didengar.
Memetik media tempatan, Thiam Suan dalam keputusan majoriti dilaporkan sebagai berkata mahkamah tidak berpuas hati untuk menggunakan budi bicara bagi memberikan kebenaran atas persoalan perlembagaan yang dipinda.
Pada 23 November 2023, Mahkamah Rayuan dilaporkan memutuskan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular, sah di sisi undang-undang.
Keputusan sebulat suara itu dicapai panel tiga hakim diketuai Datuk Supang Lian ketika menolak rayuan empat NGO berhubung isu bahasa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT).
Perayu-perayu itu terdiri daripada MAPPIM, GAPENA, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).
Hakim Supang yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan berpuas hati sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa pengantar yang bukan bahasa Melayu untuk pengajaran di sekolah vernakular Cina dan Tamil, tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan. — The Merdeka Times