Terkini
(VIDEO) Tular rakyat Malaysia gesa Kedutaan Israel dibuka di negara ini
Seorang individu dipercayai warga Malaysia menggesa supaya Kedutaan Israel dibuka di Malaysia dalam rakaman videonya bersama seorang pempengaruh warga Israel.
KUALA LUMPUR – Seorang individu dipercayai warga Malaysia menggesa supaya Kedutaan Israel dibuka di Malaysia dalam rakaman videonya bersama seorang pempengaruh warga Israel.
Video itu dimuat naik di akaun platform X pempengaruh tersebut yang merupakan personaliti media sosial negara haram Israel, berdialog bersama warga Malaysia bernama Victor Yong Jen Ong.
Dalam video itu Victor mencadangkan Malaysia meniru jejak langkah beberapa negara Arab supaya budaya Yahudi boleh diperkenalkan di negara ini.
“Kedutaan Israel mesti dibuka di Malaysia, mengikut contoh jejak langkah Emirati (Emiriah Arab Bersatu) dan Bahrain.
“(Dengan itu) kedutaan Israel akan membawa pelbagai budaya orang Yahudi ke Malaysia, menjelaskan kita semua kepada kebenaran sebenar-benarnya,” katanya.
Dalam klip itu juga, Victor mendakwa Bani Israel disebut dalam Al Quran dan perkara itu dilihatnya sebagai indikasi kitab-kitab dalam Islam menuntut supaya Bani Israel dikasihi, satu dakwaan fatal tanpa diberikan ayat atau konteks rujukan menjelaskan dakwaannya itu.
“Malah Bani Israel juga disebut dalam Al-Quran, kitab-kitab agama Islam turut menuntut supaya kasih sayang diperpanjangkan kepada Bani Israel, lalu mencadangkan keganasan Arab radikal berbeza dengan semua itu,” katanya.
Pujiannya terhadap bangsa Melayu sebagai baik hati kerana memberi ruang kepada pelbagai bangsa untuk hidup bersama turut diselangi kutukan kepada bangsa Arab, mengabaikan sejarah Arab Palestin pada satu masa dulu turut mengalu-alukan kedatangan bangsa Yahudi di bumi mereka sehingga akhirnya diusir keluar dari wilayah asal mereka sendiri.
“Orang Melayu sangat baik hati, tidak seperti pengganas radikal Arab, orang Melayu telah memberi ruang kepada pelbagai kelompok etnik di Malaysia, oleh kerana itu, keamanan sememangnya berada di sini, iaitu di depan pintu (negara) kami,” katanya.
Apabila Victor ditanya mengapa rakyat Malaysia dilihat seolah-olah membenci Israel, dia berpendapat mereka yang patut dipersalahkan dalam hal itu adalah Fatah dan Hamas.
“Kebencian itu berpunca daripada organisasi Fatah dan Hamas di lapangan, menjalankan operasi keganasan profesional dalam bentuk keganasan pada akar umbi dan keganasan siber.
“Jadi salah maklumat, kekeliruan, merupakan usaha merosakkan pemikiran warga Malaysia, supaya rakyat Malaysia membelakangi Israel,” katanya.
Terdahulu, pengamal media dan pempengaruh, Zainal Rashid Ahmad, yang juga Pengasas ZRA Strim, pernah menegur mereka yang tidak tahu tentang sejarah perjuangan Hamas diingatkan supaya tidak menjadi ‘lidah Yahudi’ dan alat propaganda rejim zionis Israel. – The Merdeka Times
Sumber: Platform – X Hananya Naftali
View this post on Instagram