Terkini
Sekolah vernakular: NGO failkan permohonan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan
Dua badan bukan kerajaan (NGO) memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan, berkenaan keabsahan Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).
- Permohonan itu difailkan peguam yang mewakili Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 November lalu menolak rayuan mereka bagi mencabar keabsahan kewujudan SJKC dan SJKT di Malaysia.
- Peguamcara bagi MAPPIM dan GAPENA, Tetuan Amelda Fuad Abi dan Aidil berkata permohonan difailkan ke Mahkamah Persekutuan adalah pada 19 Disember lalu.
- Beliau berkata pihaknya juga diarahkan untuk menegaskan kedua-dua MAPPIM dan GAPENA menyokong segala usaha peningkatan penguasaan bahasa ketiga, sama ada bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Kadazan, atau mana-mana bahasa lain di dunia termasuk Jepun, Korea, dan lain-lain melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa itu sebagai satu mata pelajaran.
- “(MAPPIM dan GAPENA) tetapi mempertikaikan mana-mana bahasa asing tersebut daripada dijadikan bahasa pengantar utama di mana-mana institusi pendidikan awam yang menerima dana awam, kerana hal tersebut akan bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mesti digunakan untuk semua tujuan rasmi.
- “Justeru, pemfailan Notis Usul ini hendaklah dilihat dari sudut isu keperlembagaan dan perundangan, serta tidak disensasikan sebagai isu perkauman,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
KUALA LUMPUR — Dua badan bukan kerajaan (NGO) memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan keabsahan Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).
Permohonan itu difailkan peguam yang mewakili Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 November lalu menolak rayuan mereka bagi mencabar keabsahan kewujudan SJKC dan SJKT di Malaysia.
Ini kerana menurut Mahkamah Rayuan, SJKC dan SJKT di Malaysia bukan suatu “pihak berkuasa awam”, ia tidak tertakluk kepada kewajipan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar bagi urusannya.
Peguamcara bagi MAPPIM dan GAPENA, Tetuan Amelda Fuad Abi dan Aidil berkata permohonan yang difailkan ke Mahkamah Persekutuan adalah pada 19 Disember lalu.
“Seksyen 96 dan 97 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menetapkan bahawa sebelum merayu ke Mahkamah Persekutuan, permohonan untuk kebenaran merayu (leave to appeal) perlu diperolehi terlebih dahulu.
“Justeru itu, MAPPIM dan GAPENA memfailkan Notis Usul memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan, atas isu-isu pokok perlembagaan dan perundangan berkenaan kedudukan Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh Malaysia, di sisi Fasal 152 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Katanya, Notis Usul itu menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua serta 10 responden lain, termasuk Jiao Zong dan Dong Zong sebagai responden keenam dan ketujuh, serta MIC dan MCA sebagai responden keempat dan kelima.
Beliau berkata pihaknya juga diarahkan untuk menegaskan kedua-dua MAPPIM dan GAPENA menyokong segala usaha peningkatan penguasaan bahasa ketiga, sama ada bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Kadazan, atau mana-mana bahasa lain di dunia termasuk Jepun, Korea, dan lain-lain melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa itu sebagai satu mata pelajaran.
“(MAPPIM dan GAPENA) tetapi mempertikaikan mana-mana bahasa asing tersebut daripada dijadikan bahasa pengantar utama di mana-mana institusi pendidikan awam yang menerima dana awam, kerana hal tersebut akan bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mesti digunakan untuk semua tujuan rasmi.
“Justeru, pemfailan Notis Usul ini hendaklah dilihat dari sudut isu keperlembagaan dan perundangan, serta tidak disensasikan sebagai isu perkauman,” katanya. —- The Merdeka Times