Terkini
Isu sekolah vernakular: Rayuan akan difailkan ke Mahkamah Persekutuan – Peguam
Peguam yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO) Pendidikan Melayu dan Islam, akan merayu semakan semula keputusan Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan.

- Peguam wakil NGO Pendidikan Melayu dan Islam, akan merayu semakan semula keputusan Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan.
- Tindakan diambil selepas Mahkamah Rayuan hari ini, memutuskan penubuhan sekolah vernakular dan menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di negara ini sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.
- Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili NGO berkenaan, berkata semakan akan dilakukan pihaknya dalam tempoh 30 hari bermula hari ini.
- “Jadi kita lihat di mahkamah itu pula nanti. Berapa banyak NGO yang akan failkan itu, kita akan perhalusi nanti,” katanya kepada media di Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
- Haniff Khatri mewakili Mappim dan Gapena, dalam hujahan balasnya, berkata disebabkan pendidikan merupakan urusan rasmi, maka penggunaan bahasa sebagai medium pengajaran wajiblah dalam Bahasa Melayu.
PUTRAJAYA: Peguam yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO) Pendidikan Melayu dan Islam, akan merayu semakan semula keputusan Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Tindakan itu akan diambil selepas Mahkamah Rayuan hari ini, memutuskan bahawa penubuhan sekolah vernakular dan menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di negara ini adalah sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili NGO berkenaan, berkata semakan itu akan dilakukan oleh pihaknya dalam tempoh 30 hari bermula dari hari ini.
“Yang pasti, rayuan akan difailkan ke Mahkamah Persekutuan.
“Jadi kita lihat di mahkamah itu pula nanti. Berapa banyak NGO yang akan failkan itu, kita akan perhalusi nanti,” katanya kepada media di Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
Terdahulu, panel tiga hakim diketuai Datuk Supang Lian yang bersidang bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak saman yang difailkan empat pertubuhan bukan Kerajaan (NGO).
Mereka ialah Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Sementara itu keadaan di sekitar Istana Kehakiman dilihat terkawal semasa dan selepas keputusan kes diumumkan oleh Mahkamah Rayuan.
Puluhan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya mengawasi kawasan persekitaran Istana Kehakiman seawal jam 7 pagi tadi, namun sehingga jam 10 pagi tiada sebarang insiden kekecohan dilaporkan berlaku.
Pada Disember 2019, lima NGO iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mappim, Gapena dan Isma memfailkan saman kepada 13 pihak antaranya Kerajaan Malaysia, kumpulan pendidik Cina Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia serta Persatuan Tamilar Thurunal (Perak).
I-Guru pula menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia, memohon deklarasi bahawa Seksyen 17 serta Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 adalah tidak konsisten dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, maka ia perlu dibatalkan.
NGO-NGO itu mencabar keabsahan sekolah vernakular dan menyatakan penggunaan bahasa Mandarin serta Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Tamil Neri Malaysia, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia, MCA dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah dibenarkan mencelah dalam saman yang difailkan oleh I-Guru.
Pada 29 Disember 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak saman GPMS, Mappim, Gapena and ISMA.
Mohd Nazlan memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan Bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.
Pada 29 Mei tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Abazafree Mohd Abbas (kini Hakim Mahkamah Tinggi) turut memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah sah dan berperlembagaan ketika beliau menolak saman I-Guru.
Pada Disember 2021 dan Mei 2022, Mappim, Gapena, Isma dan I-Guru merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Kota Bharu yang menolak saman mereka.
Bagaimanapun, hanya GPMS tidak memfailkan rayuan.
Semasa hujahan prosiding rayuan itu, Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin, mewakili Menteri Pendidikan dan kerajaan, berhujah bahawa penggunaan bahasa lain sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah vernakular tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana bahasa kebangsaan diajar sebagai mata pelajaran wajib di sekolah terbabit.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Mappim dan Gapena, dalam hujahan balasnya, berkata disebabkan pendidikan merupakan urusan rasmi, maka penggunaan bahasa sebagai medium pengajaran wajiblah dalam Bahasa Melayu.
Sumber: Berita Harian
