Terkini
Lelaki Muslim dakwa tiga anak tirinya dimurtadkan di gereja
Seorang lelaki Muslim membuat laporan polis mendakwa tiga anak tirinya dimurtadkan bekas suami kepada isterinya di sebuah gereja terkemuka di Malaysia.

- Seorang lelaki Muslim membuat laporan polis mendakwa tiga anak tirinya dimurtadkan bekas suami kepada isterinya di sebuah gereja terkemuka di Malaysia.
- Laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Dang Wangi di ibu negara pada jam 10.51 pagi semalam.
- Merujuk kepada laporan polis dilihat The Merdeka Times, Muhammad Addinullah Mohd Hazmi, 34, berkata beliau dan isterinya menerima satu dokumen daripada bekas suami isterinya pada 20 Julai lalu, memaklumkan beliau (bekas suami isteri) mengkristiankan anak-anaknya.
- Pengadu berkata ketiga-tiga anak tirinya, berusia antara 8 hingga 11 tahun, masih di bawah umur.
- “Tujuan saya membuat laporan polis ini adalah untuk pihak berkuasa membuat siasatan ke atas bekas suami dan Gereja XXXXXXX kerana telah mengkristiankan anak-anak tiri saya tanpa kebenaran dan pengetahuan isteri saya,” katanya menerusi laporan polis itu.
- The Merdeka Times pada Isnin lalu, melaporkan pendakwah bebas yang juga Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong mendedahkan seorang lelaki Muslim dan anak-anaknya dimurtadkan di gereja terkemuka sebelum berkahwin di cawangan gereja itu yang terletak di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR — Seorang lelaki Muslim membuat laporan polis mendakwa tiga anak tirinya dimurtadkan bekas suami kepada isterinya di sebuah gereja terkemuka di Malaysia.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Dang Wangi di ibu negara pada jam 10.51 pagi semalam.
Merujuk kepada laporan polis dilihat The Merdeka Times, Muhammad Addinullah Mohd Hazmi, 34, berkata beliau dan isterinya menerima satu dokumen daripada bekas suami isterinya pada 20 Julai lalu, memaklumkan beliau (bekas suami isteri) mengkristiankan anak-anaknya.
Addinullah berkata beliau dan isteri sangat terkejut selepas dimaklumkan kanak-kanak terbabit dibaptiskan.
Katanya, ketiga-tiga anak tirinya, berusia antara 8 hingga 11 tahun, masih di bawah umur.
“Tujuan saya membuat laporan polis ini adalah untuk pihak berkuasa membuat siasatan ke atas bekas suami dan Gereja XXXXXXX kerana telah mengkristiankan anak-anak tiri saya tanpa kebenaran dan pengetahuan isteri saya,” katanya dalam laporan polis itu.
Pada 18 Disember lalu, The Merdeka Times melaporkan pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong mendedahkan seorang lelaki Muslim dan anak-anaknya dimurtadkan di gereja terkemuka sebelum berkahwin di cawangan gereja itu yang terletak di Kuala Lumpur.
Firdaus Wong yang juga pendakwah bebas berkata, perkara itu bukan khabar angin kerana pihaknya mempunyai dokumen rasmi pengakuan mereka memeluk Kristian.
“Saya nak lihat apa respon Council of Churches Malaysia (CCM), MCCBCHST(Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia) dan para liberal yang selama ini menentang pemelukan agama secara ‘unilateral’.
“Saya ingin tahu apakah yang mereka perjuangkan itu hanyalah difokuskan pada pemelukan agama Islam secara ‘unilateral’ atau mereka tidak hipokrit dan juga menentang pemelukan agama secara ‘unilateral’ tanpa mengira agama apa pun,” katanya.
Mahkamah Persekutuan pada 2018, sebulat suara memutuskan penukaran agama kanak-kanak secara unilateral menyalahi undang-undang kerana ia memerlukan kebenaran daripada kedua-dua ibu dan bapa. — The Merdeka Times
