Terkini
Cadangan SPRM dan PETRONAS bawah Agong, boleh dibincang – PM
Cadangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PETRONAS melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh dibincangkan.

- Cadangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PETRONAS melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh dibincangkan.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan dikemukakan itu tidak akan menggugat kuasa dan peruntukan Perlembagaan Negara.
- “Kita boleh runding dengan baik tetapi prinsip Perlembagaan, (sistem) demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan itu tetap dipertahankan dan kita junjung prinsip yang sama,” katanya dipetik Berita Harian selepas merasmikan dua pameran seni di Muzium Kesenian Islam, di sini malam tadi.
- Sultan Ibrahim yang akan menjadi YDPA tidak lama lagi dilaporkan berkata dua badan itu perlu melapor secara terus kepada Istana Negara berbanding Parlimen dan ia akan dapat menjamin kebebasan SPRM.
- Titah itu mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpandangan cadangan Sultan Johor itu dan beberapa perancangan lain apabila baginda menjadi Agong tidak boleh diambil ringan.
KUALA LUMPUR — Cadangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PETRONAS melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh dibincangkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan dikemukakan itu tidak akan menggugat kuasa dan peruntukan Perlembagaan Negara.
“Kita boleh runding dengan baik tetapi prinsip Perlembagaan, (sistem) demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan itu tetap dipertahankan dan kita junjung prinsip yang sama,” katanya dipetik Berita Harian selepas merasmikan dua pameran seni di Muzium Kesenian Islam, di sini malam tadi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sepatutnya tidak ada kebimbangan sekiranya ada pandangan, termasuk daripada Sultan Johor mengenai perkara itu.
“Pandangan ini kita boleh bincang tapi dia (cadangan tersebut) tidak akan mempengaruhi asas dan prinsip negara kita mengenai Parlimen berperlembagaan,” kata Perdana Menteri.
Sebelum ini, media melaporkan Sultan Ibrahim mahu lebih banyak tanggungjawab diberi kepada YDPA, termasuk pemantauan secara terus terhadap SPRM dan Petronas.
Sultan Ibrahim yang akan menjadi YDPA tidak lama lagi berkata dua badan itu perlu melapor secara terus kepada Istana Negara berbanding Parlimen.
Baginda bertitah dengan meletakkan SPRM di bawah YDPA, maka ia akan dapat menjamin kebebasan suruhanjaya itu.
Titah itu mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpandangan cadangan Sultan Johor tersebut dan beberapa perancangan lain apabila baginda menjadi Agong tidak boleh diambil ringan.
Dr Mahathir berkata sekalipun kuasa itu tidak diperuntukkan di dalam Perlembagaan, keinginan disampaikan Sultan Johor itu jika menjadi kenyataan akan menimbulkan beberapa persoalan penting berkait peranan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan.
Turut memberi reaksi, Peguam, Aidil Khalid yang menyifatkan cadangan berkenaan sebagai berbahaya dan wajar dibantah.
Aidil berkata meletakkan suruhanjaya terbabit, Petronas dan agensi penting lain di bawah Parlimen sekalipun bukan bersifat ideal kerana ahli politik juga belum tentu boleh diharapkan sepenuhnya, namun sekurang-kurangnya mereka bertanggungjawab (answerable) kepada pengundi mereka.
“Berbanding meletakkannya di bawah Agong, yang sama sekali tidak ‘answerable’ secara terus kepada rakyat. Tidak ada peruntukan untuk mewajibkan Agong menjawab soalan wakil rakyat di Parlimen atau di istana sekali pun,” katanya. — The Merdeka Times
