Antarabangsa
Hospital di Gaza hanya ada bekalan elektrik kurang 24 jam
Sistem penjagaan kesihatan di Gaza mungkin tidak dapat beroperasi dalam tempoh kurang 24 jam sebelum generator kehabisan bahan api, sekali gus menyebabkan perkhidmatan hospital terpaksa dihentikan sepenuhnya.
- Sistem penjagaan kesihatan di Gaza mungkin tidak dapat beroperasi dalam tempoh kurang 24 jam sebelum generator kehabisan bahan api, sekali gus menyebabkan perkhidmatan hospital terpaksa dihentikan sepenuhnya.
- Beberapa hari sebelum serangan Israel ke atas Gaza bermula, pihak berkuasa Israel menutup lintasan sempadan dengan Gaza dan menyekat bekalan bahan apinya. Hospital Gaza kini kebanyakannya bergantung kepada generator.
- Ketika serangan Israel ke atas Gaza berlarutan lebih sebulan, kebanyakan hospital dan pusat penjagaan kesihatan terpaksa menutup operasi disebabkan dibom atau akibat kekurangan bahan api dan bekalan perubatan.
- “(Dalam tempoh beberapa jam akan datang) keputusan yang sangat sukar perlu diambil sama ada untuk terus bekerja di hospital atau memindahkan semua orang ke kawasan yang berkemungkinan lebih berbahaya,” kata Kakitangan Palang Merah Palestin, Mohammed Abu Msbeh yang bertugas di Tebing Barat.
GAZA – Sistem penjagaan kesihatan di Gaza mungkin tidak dapat beroperasi dalam tempoh kurang 24 jam sebelum generator kehabisan bahan api, sekali gus menyebabkan perkhidmatan hospital terpaksa dihentikan sepenuhnya.
Bantuan kemanusiaan yang masuk ke Gaza sangat perlahan dan ia tidak dapat mengubah keadaan, manakala sistem penjagaan kesihatan mencapai tahap terburuk dalam sejarah.
Keadaan di Gaza kini semakin buruk dengan ribuan rakyat Palestin yang cedera akibat serangan udara tentera Israel, terpaksa dikejarkan ke hospital di wilayah yang terus melalui pelbagai sekatan sejak 15 tahun lalu.
Beberapa hari sebelum serangan Israel ke atas Gaza bermula, pihak berkuasa Israel menutup lintasan sempadan dengan Gaza dan menyekat bekalan bahan apinya. Hospital Gaza kini kebanyakannya bergantung kepada generator.
Kakitangan Palang Merah Palestin, Mohammed Abu Msbeh yang bertugas di Tebing Barat ketika mendedahkan perkembangan terkini, berkata keadaan hospital di Gaza semakin meruncing susulan serangan Israel.
“Hospital hanya mempunyai tempoh kurang 24 jam sebelum generator kehabisan bahan api, sekali gus menyebabkan perkhidmatan hospital terpaksa dihentikan sepenuhnya.
“Pada masa sama, perkhidmatan jalur lebar juga tidak boleh diakses selama dua hari, selain jalan sekitar hospital juga sukar diakses untuk tempoh empat hari berturut-turut.
“(Dalam tempoh beberapa jam akan datang) keputusan yang sangat sukar perlu diambil sama ada untuk terus bekerja di hospital atau memindahkan semua orang ke kawasan yang berkemungkinan lebih berbahaya,” katanya.
Pengarah Hospital Al Shifa, Abu Salmiya, berkata tindakan yang dilakukan Israel adalah perang terhadap hospital dan semua rakyat Palestin.
“Apabila anda menyasarkan hospital, ini adalah hukuman mati terhadap bukan saja anggota perubatan dan pesakit, malah semua rakyat di Semenanjung Gaza.
“Orang ramai tidak akan dapat menerima rawatan kesihatan dan ubat daripada hospital, yang akan menjejaskan kesejahteraan mereka dalam situasi kesihatan awam yang sudah sangat sukar.
“Semua orang tahu keperluan hospital, semua orang tahu hospital sudah menjadi tempat perkuburan,” katanya.
Ketika serangan Israel ke atas Gaza berlarutan lebih sebulan, kebanyakan hospital dan pusat penjagaan kesihatan terpaksa menutup operasi disebabkan dibom atau akibat kekurangan bahan api dan bekalan perubatan.
Memetik laporan, tentera penceroboh Israel melakukan sekurang-kurangnya 102 serangan ke atas pusat penjagaan kesihatan sejak tercetusnya pertempuran di wilayah yang dikepung pada 7 Oktober lalu.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), serangan itu mengakibatkan 504 maut, 459 cedera, kerosakan pada 39 kemudahan dan menjejaskan 31 ambulans.
Pejabat media Gaza turut memaklumkan hanya 18 hospital yang masih beroperasi tetapi dalam keadaan yang sangat sukar akibat kehabisan bahan api dan bekalan perubatan. – AGENSI
SUMBER: Berita Harian