Terkini
Tiada rancangan lantik calon BERSATU sebagai timbalan MB negeri dikuasai PN
Tiada sebarang rancangan untuk meletakkan calon BERSATU sebagai Timbalan Menteri Besar di Kelantan atau di mana-mana negeri yang kini dikuasai Perikatan Nasional (PN).

- Tiada sebarang rancangan meletakkan calon BERSATU sebagai Timbalan Menteri Besar di Kelantan atau di mana-mana negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN).
- Perkara itu disahkan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, ketika diminta mengulas sama ada nama wakil BERSATU akan dipertimbang untuk mengisi jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan.
- Katanya, pimpinan BERSATU selesa berada di barisan EXCO dalam pentadbiran negeri di Terengganu, Kelantan dan Kedah.
- “BERSATU tidak membuat desakan itu (jawatan tertinggi pentadbiran negeri) dan tiada perancangan ke situ…cuma terbabit dalam EXCO dan kepemimpinan masyarakat seperti ahli majlis,” katanya.
- Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini mengesahkan Kelantan memiliki gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar baharu terdiri dalam kalangan tokoh agama dan teknokrat.
KUALA LUMPUR: Tiada sebarang rancangan untuk meletakkan calon BERSATU sebagai Timbalan Menteri Besar di Kelantan atau di mana-mana negeri yang kini dikuasai Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu disahkan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, ketika diminta mengulas sama ada nama wakil BERSATU akan turut dipertimbang untuk mengisi jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan.
Mengulas lanjut, katanya, pimpinan BERSATU selesa untuk berada di barisan EXCO dalam pentadbiran negeri di Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Justeru, beliau berkata pimpinan parti itu tidak akan mendesak untuk menempatkan diri sebagai pemimpin tertinggi dalam pentadbiran termasuk jawatan Timbalan Menteri Besar di negeri yang dipertahankan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.
“BERSATU tidak membuat desakan itu (jawatan tertinggi pentadbiran negeri) dan tiada perancangan ke situ…cuma terbabit dalam EXCO dan kepemimpinan masyarakat seperti ahli majlis,” katanya kepada BH.
Terdahulu, timbul spekulasi kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU akan dipertimbang untuk mengisi jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan mengambil kira tiada wakil parti itu kini menerajui mana-mana negeri dikuasai PN sebagai Menteri Besar.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengesahkan negeri itu akan memiliki gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu terdiri dalam kalangan tokoh agama dan teknokrat.
Dalam pada itu, Razali berkata untuk Kelantan calon bagi dua jawatan tertinggi itu akan diisi PAS sebagaimana pengumuman dibuat Takiyuddin.
“Di Kelantan sudah sedia ada calon (Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar dari PAS)…(pengumuman itu) datangnya daripada Setiausaha Agung PAS jadi ia (calon untuk dua jawatan itu) adalah di bawah PAS,” katanya.
Sabtu lalu, PN mengekalkan penguasaan di tiga negeri termasuk menyapu bersih 32 kerusi DUN di Terengganu.
Secara keseluruhan, PN memenangi 146 daripada 245 kerusi DUN dengan 117 disumbangkan PAS, diikuti 28 kerusi melalui BERSATU dan satu melalui GERAKAN.
Sehingga kini, urusan pelantikan Menteri Besar hanya selesai di Kedah dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit hari ini.
Bagi dua lagi negeri dikuasai PN iaitu Kelantan dan Terengganu masih lagi menjadi teka-teki.
Pada masa sama, Razali yang berjaya memenangi kerusi DUN Kijal Sabtu lalu berkata, BERSATU melihat soal menuntut jawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri itu tidak penting.
Sebaliknya, beliau berkata, BERSATU berpandangan aspek kebersamaan dengan parti komponen dalam meraih kemenangan itu adalah lebih utama.
Sumber: Berita Harian
