Connect with us

Terkini

Mahkamah Tinggi benarkan semakan kehakiman Swatch cabar rampasan jam terkait LGBT

Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh syarikat jam tangan, Swatch terhadap kerajaan bagi mencabar tindakan merampas 172 jam tangan termasuk siri ‘Pride Collection’ dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Mahkamah Tinggi benarkan semakan kehakiman Swatch cabar rampasan jam terkait LGBT
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman syarikat jam tangan, Swatch terhadap kerajaan bagi mencabar tindakan merampas 172 jam tangan termasuk siri ‘Pride Collection’ dikaitkan dengan komuniti LGBT.
  • Hakim, Datuk Amarjeet Singh, membuat keputusan berkenaan selepas peguam bela syarikat terbabit, Nizam Bashir, memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan itu.
  • Pada 24 Jun lalu, Swatch menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates memfailkan permohonan terbabit dengan menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan selaku responden pertama hingga keempat.
  • Dalam permohonannya, Swatch mendakwa penyitaan itu tidak sah kerana jam tangan bukan sebuah ‘penerbitan’ yang boleh dilarang dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.
  • Pemohon juga mendakwa tindakan responden dilakukan atas motif politik yang tidak wajar, mengambil kira Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang di beberapa negeri penting.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh syarikat jam tangan, Swatch terhadap kerajaan bagi mencabar tindakan merampas 172 jam tangan termasuk siri ‘Pride Collection’ dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Hakim, Datuk Amarjeet Singh, membuat keputusan berkenaan selepas peguam bela syarikat terbabit, Nizam Bashir, memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan itu.

“Mahkamah membenarkan permohonan berkenaan,” kata hakim ketika prosiding yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan mewakili AGC, Farah Shuhada Ramli.

Pada 24 Jun lalu, Swatch menerusi Tetuan Nizam Bashir & Associates memfailkan permohonan terbabit dengan menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan selaku responden pertama hingga keempat.

Dalam permohonannya, Swatch mendakwa penyitaan itu tidak sah kerana jam tangan bukan sebuah ‘penerbitan’ yang boleh dilarang dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Beliau berkata, istilah penerbitan merujuk kepada untuk dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak berdasarkan akta itu.

Pemohon juga mendakwa tindakan responden dilakukan atas motif politik yang tidak wajar, mengambil kira Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang di beberapa negeri penting.

Ia mendakwa menteri sedang mencari pengiktirafan Islam bagi tujuan politik.

Pemohon mendakwa jam tangan yang disita tidak mempromosikan apa-apa gejala seksual, namun hanyalah ekspresi menyeronokkan mengenai keamanan dan cinta.

Katanya, jam tangan daripada reka bentuk 2023 adalah satu daripada enam warna pelangi dan hanya kelihatan di sebahagian kecil gelung jam berkenaan.

Pemohon menuntut satu perintah certiorari dan mandamus untuk membatalkan notis penyitaan dan mengembalikan jam tangan berkenaan serta ganti rugi yang dianggarkan RM64,795.

Pada 13 dan 14 Mei lalu, KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan LGBT.

Serbuan selama dua hari diadakan di butik Swatch yang terletak di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Lima lagi butik diberi amaran iaitu di Kuala Terengganu City Centre, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *