Terkini
Ahli khianat punca UMNO kalah teruk – Veteran UMNO
Pengkhianatan ahli UMNO adalah punca parti itu berterusan kalah sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada Sabtu lalu.

- Pengkhianatan ahli UMNO adalah punca parti itu berterusan kalah sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada Sabtu lalu.
- Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub menegaskan UMNO masih relevan dan akan tetap relevan selagi ahlinya tidak mengkhianati parti itu.
- Beliau berkata UMNO perlu menyusun strategi baharu dan menjelaskan beberapa isu penting sukar diterima dan difahami ahli, khususnya penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bersama DAP dan slogan ‘No Anwar No DAP’.
KUALA LUMPUR — Pengkhianatan ahli UMNO adalah punca parti itu berterusan kalah sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub menegaskan UMNO masih relevan dan akan tetap relevan selagi ahlinya tidak mengkhianati parti itu.
Katanya, sekalipun keputusan PRN tidak berpihak kepada UMNO, namun parti itu tetap dipertahankan penyokong setianya.
“Malangnya akibat ahli yang tidak setia dan belot, maka UMNO kecundang dan kalah teruk.
“Dalam erti kata yang mudah UMNO kalah teruk sejak PRU15 sehingga PRN yang baru lalu kerana dikhianati oleh ahlinya sendiri,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Pada PRU15 lalu, UMNO hanya memenangi 30 kerusi, manakala pada PRN kali ini parti itu hanya meraih 19 kerusi daripada 108 kerusi yang ditandingi.
Mustapha berkata UMNO perlu bangkit dan menyusun strategi perang baharu dan tidak boleh lagi mengambil sikap bertahan, sebaliknya mesti ‘menyerang’.
UMNO juga perlu menjelaskan beberapa isu penting yang sukar diterima dan difahami ahli, khususnya penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bersama DAP dan slogan ‘No Anwar No DAP’, kata veteran parti politik itu. — The Merdeka Times
Sumber: Utusan Malaysia
