Terkini
Hujan lebat di India, 10 rakyat Malaysia disahkan selamat
Sekumpulan rakyat Malaysia yang sebelum ini gagal dihubungi selepas hujan lebat melanda wilayah utara India, Ahad lalu, disahkan selamat.
- Sekumpulan rakyat Malaysia yang sebelum ini gagal dihubungi selepas hujan lebat melanda wilayah utara India, Ahad lalu, disahkan selamat.
- Kementerian Luar memaklumkan maklumat terkini diperolehi mendapati hanya 10 rakyat Malaysia yang terkesan bencana itu dan bukan 12 orang seperti dilaporkan sebelum ini.
- Katanya Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi akan berusaha untuk membawa keluar kumpulan terbabit ke New Delhi pada hari 13 Julai 2023 (hari ini).
- BH sebelum ini melaporkan Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengesan 12 rakyat Malaysia di negara itu.
KUALA LUMPUR – Sekumpulan rakyat Malaysia yang sebelum ini gagal dihubungi selepas hujan lebat melanda wilayah utara India, Ahad lalu, disahkan selamat.
Kementerian Luar memaklumkan maklumat terkini yang diperolehi mendapati hanya 10 rakyat Malaysia yang terkesan bencana itu dan bukan 12 orang seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Laporan awal yang menyatakan sekumpulan 12 rakyat Malaysia didapati gagal dihubungi oleh ahli keluarga berikutan fenomena hujan lebat yang melanda Wilayah Utara India pada 12 Julai 2023 sudah dikemaskini.
“Maklumat terkini yang diperolehi ialah 10 rakyat Malaysia yang terbabit manakala dua lagi daripada mereka adalah rakyat China dan British,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua rakyat asing terbabit juga dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
“Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi ingin mengesahkan sudah dapat berhubung dengan salah seorang daripada 10 rakyat Malaysia terbabit.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sudah dimaklumkan bahawa kesemua mereka berada dalam keadaan selamat di Manali,” katanya.
Berikutan perkembangan ini, katanya Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi akan berusaha untuk membawa keluar kumpulan terbabit ke New Delhi pada hari 13 Julai 2023 (hari ini).
“Sekiranya rancangan evakuasi berjalan dengan lancar, kumpulan terbabit dijangka akan mengambil penerbangan pulang ke Malaysia pada hari yang sama.
“Kementerian ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan bantuan segera yang diberikan oleh pihak berkuasa Kerajaan India dalam usaha mengesan kesemua rakyat Malaysia tersebut,” katanya.
BH sebelum ini melaporkan Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengesan 12 rakyat Malaysia di negara itu.
Ini berikutan, rakyat Malaysia itu tidak dapat dihubungi oleh keluarga masing-masing selepas fenomena hujan lebat yang melanda wilayah utara India, Ahad lalu.
Sumber: Berita Harian