Terkini
Edar dadah di ‘dark web’ kian popular, harga serendah RM18 – AADK
Serendah RM18. Itu adalah harga bekalan dadah sintetik yang boleh diperoleh menerusi ‘dark web’ atau sesawang gelap serta platform aplikasi sembang sosial lain, dedah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
- Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon, berkata platform terbabit semakin popular dalam kalangan penagih mendapatkan bekalan, berbanding membeli terus daripada pengedar kecil atau tokan.
- “Berdasarkan kajian, sumber bekalan dadah (diperoleh) selain ‘tokan’ dan rakan sebaya, adalah di ‘dark web’ dengan (pembelian) secara dalam talian, ia semakin popular di negara kita. Ada berharga serendah RM18 ikut tahap ketulenan dadah.”
- “Bekalan kemudian dihantar menggunakan perkhidmatan kurier atau melalui orang persendirian. Sebab itu ibu bapa perlu melihat, pantau dan tapis setiap pakej yang sampai ke rumah mereka,” kata Sutekno.
- Beliau memaklumkan, pihak berkuasa akan berunding dengan kementerian menyelia perkhidmatan kurier untuk sediakan, mengawal selia dan meningkatkan penguatkuasaan bendung penghantaran bekalan dadah menggunakan perkhidmatan berkenaan.
PUTRAJAYA – Serendah RM18. Itu adalah harga bekalan dadah sintetik yang boleh diperoleh menerusi ‘dark web’ atau sesawang gelap serta platform aplikasi sembang sosial lain, dedah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon, berkata platform terbabit dilihat semakin popular dalam kalangan penagih untuk mendapatkan bekalan, berbanding membelinya terus daripada pengedar kecil atau tokan.
“Berdasarkan kajian, sumber bekalan dadah (diperoleh) selain ‘tokan’ dan rakan sebaya, adalah di ‘dark web’ dengan (pembelian) secara dalam talian, ia semakin popular di negara kita. Ada yang berharga serendah RM18 mengikut tahap ketulenan dadah.
“Bekalan kemudian dihantar menggunakan perkhidmatan kurier atau melalui orang persendirian. Sebab itu ibu bapa perlu melihat, pantau dan tapis setiap pakej yang sampai ke rumah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023 dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.
Sutekno berkata, pihaknya mendapati setiap penagih membelanjakan sekurang-kurangnya RM50 untuk bekalan dadah selama tiga hari dan jumlah itu meningkat berdasarkan tahap ketagihan.
Justeru, beliau memaklumkan, pihak berkuasa akan berunding dengan kementerian yang menyelia perkhidmatan kurier untuk menyediakan, mengawal selia dan meningkatkan penguatkuasaan dalam membendung penghantaran bekalan dadah menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Sementara itu, Sutekno berkata, pihaknya akan meningkatkan lagi kempen anti dadah selain menggandakan usaha untuk menambah keahlian Skuad Anti Dadah bermula tahun ini.
“AADK menyasarkan pembabitan sejuta ahli Skuad Anti Dadah sehingga Julai tahun depan dan setakat ini jumlah keahlian sudah melebihi 100,000 orang,” katanya.
Sumber: Berita Harian