Terkini
Doktor kontrak ke jawatan tetap diminta akur penempatan diberikan
Doktor kontrak yang mula diserapkan ke jawatan tetap diminta bersabar dan akur untuk ditempatkan di lokasi yang sudah ditetapkan meskipun sebahagian daripada mereka membuat rayuan untuk kekal atau berpindah ke tempat lain.
- Doktor kontrak yang mula diserapkan ke jawatan tetap diminta bersabar dan akur ditempatkan di lokasi ditetapkan meskipun sebahagian daripada mereka membuat rayuan untuk kekal atau berpindah ke tempat lain.
- Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata ini kerana Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti dan menimbangkan permohonan mereka sebelum membuat sebarang keputusan.
- “Ada sebahagian kecil doktor kontrak yang menerima jawatan tetap sedang merayu agar tidak dipindahkan ke lokasi ditetapkan atau mahu berpindah ke tempat lain.”
- “Keputusan kita nanti bergantung kepada keperluan buat masa ini, jadi kita akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap rayuan mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Latihan Simulasi Gebeng 2023 di sini hari ini.
KUANTAN — Doktor kontrak yang mula diserapkan ke jawatan tetap diminta bersabar dan akur untuk ditempatkan di lokasi yang sudah ditetapkan meskipun sebahagian daripada mereka membuat rayuan untuk kekal atau berpindah ke tempat lain.
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata ini kerana Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti dan menimbangkan permohonan mereka sebelum membuat sebarang keputusan.
“Ada sebahagian kecil doktor kontrak yang menerima jawatan tetap sedang merayu agar tidak dipindahkan ke lokasi ditetapkan atau mahu berpindah ke tempat lain.
“Keputusan kita nanti bergantung kepada keperluan buat masa ini, jadi kita akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap rayuan mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Latihan Simulasi Gebeng 2023 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus.
Lukanisman berkata antara alasan diberikan doktor terlibat ialah faktor kesihatan, peribadi, keluarga dan ada yang sedang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya pihak kementerian akan sentiasa menambah baik sistem penempatan doktor tetap supaya mereka dapat bertugas dengan baik dan proses penempatan ini akan berterusan hingga 2025.
Dalam pada itu, beliau memohon kerajaan negeri agar menyediakan lokasi tanah yang strategik dan sesuai kepada KKM bagi mengurangkan kos pembinaan kemudahan kesihatan.
“Cabaran kita untuk membina blok baharu seperti di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan pembinaan Hospital Maran yang tertangguh ialah untuk mendapatkan tanah berkualiti dan tidak terlalu membebankan untuk dibangunkan.
“Justeru, saya mohon kerajaan negeri seluruh Malaysia agar dapat menyediakan tanah yang strategik, dengan itu kita tidak perlu keluar belanja besar untuk melakukan kerja awalan,” katanya.
Beliau berkata kerja pembinaan blok wanita dan kanak-kanak HTAA yang boleh menempatkan 376 katil di Tanjung Lumpur di sini akan bermula hujung tahun ini dan dijangka siap pada 2028.
Sementara itu, Program Latihan Simulasi Gebeng diadakan bertujuan memfokus kepada kejadian bencana melibatkan bahan kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNe) yang diadakan di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini, bermula hari ini hingga Rabu. — BERNAMA
Sumber: Bernama