Terkini
PM saran bank terus bantu individu, PKS yang memerlukan
Kerajaan menyarankan bank-bank untuk terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada individu dan premis kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan, penjadualan serta penstrukturan semula pinjaman.
- Kerajaan menyarankan bank-bank terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada individu dan premis kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan, penjadualan serta penstrukturan semula pinjaman.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga bagi membolehkan peminjam bermasalah mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
- “Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh institusi perbankan yang bersedia untuk membantu rakyat dan PKS. Industri perbankan perlu terus menyokong pembangunan usahawan mikro.
- “Terutama golongan rentan melalui inisiatif seperti iTEKAD yang menawarkan modal permulaan dan pembiayaan mikro dengan menggunakan sumber gabungan dana daripada institusi kewangan dan dana kewangan sosial seperti zakat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
PETALING JAYA — Kerajaan menyarankan bank-bank untuk terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada individu dan premis kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan, penjadualan serta penstrukturan semula pinjaman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga bagi membolehkan peminjam bermasalah mendapatkan khidmat nasihat secara percuma dan bantuan bayaran balik pinjaman melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
“Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh institusi perbankan yang bersedia untuk membantu rakyat dan PKS. Industri perbankan perlu terus menyokong pembangunan usahawan mikro.
“Terutama golongan rentan melalui inisiatif seperti iTEKAD yang menawarkan modal permulaan dan pembiayaan mikro dengan menggunakan sumber gabungan dana daripada institusi kewangan dan dana kewangan sosial seperti zakat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Pada 28 Jun lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengadakan sesi dialog bersama-sama wakil sektor perbankan sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan buah fikir dan pandangan berkaitan ekonomi negara.
Sesi dialog tersebut dihadiri oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Jessica Chew dan pemimpin-pemimpin bank seperti AMBank, Al-Rahji Bank, Bank Islam Malaysia, CIMB, HSBC Bank, Maybank, Public Bank, RHB Bank dan Standard Chartered Bank.
Ia merupakan sesi ketiga seumpamanya yang diadakan bersama selepas Anwar melakukan perjumpaan dengan pemimpin perniagaan dan pakar-pakar ekonomi.
Anwar berkata, kesemua wakil perbankan yang hadir bersetuju bahawa tumpuan kini terarah kepada usaha untuk memacu peralihan ke arah negara karbon sifar bersih serta agenda pendigitalan yang lebih meluas.
Jelasnya, perbincangan tersebut turut menyentuh bidang-bidang pertumbuhan baharu yang boleh memperkukuh saranan nilai Malaysia dalam kalangan pelabur serantau dan global.
“Ketika Kerajaan sedang merumus Naratif Ekonomi Madani, termasuk mengenal pasti sektor keutamaan bagi pertumbuhan dan pelaburan masa hadapan negara, kita juga hendaklah memastikan industri kewangan dan pasaran modal berinovasi selari dengan perubahan landskap global.
“Saya turut menyeru supaya industri kewangan membawa wadah segar dalam mengekalkan Malaysia sebagai peneraju global bagi kewangan Islam serta membina kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E),” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, perbincangan diadakan itu juga menyentuh dasar-dasar bagi memastikan industri kewangan negara kekal relevan dan inklusif dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Alhamdulillah, pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A-’ dengan tinjauan ‘stabil’ oleh S&P Global Ratings (S&P) baru-baru ini membuktikan hala tuju ekonomi negara berada pada landasan yang betul susulan pelbagai ikhtiar yang diambil bagi menyokong momentum pertumbuhan dan mengurangkan tekanan inflasi,” jelasnya.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, S&P pada 27 Jun menjelaskan bahawa rasional pengekalan penarafan didorong oleh kedudukan luaran yang kukuh dan fleksibiliti dasar monetari serta kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat berbanding negara berpendapatan setara lain.
Ini membuktikkan bahawa tinjauan yang stabil mencerminkan jangkaan kekuatan momentum pertumbuhan negara serta kekukuhan kedudukan luaran bagi tempoh dua tahun akan datang, malah S&P mengakui wujudnya komitmen politik untuk meneruskan langkah konsolidasi fiskal pasca pandemik.
“Namun saya faham bahawa pengukuhan ekonomi ini mungkin tidak dapat dirasai sepenuhnya oleh rakyat yang masih bergelut dengan kos sara hidup dan juga PKS yang sedang pulih daripada pandemik.
“Oleh itu, Kerajaan bertekad untuk mempertingkatkan lagi usaha dalam merancakkan momentum pertumbuhan ekonomi dan melaksanakan konsolidasi fiskal bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan selaras dengan konsep Malaysia Madani,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia