Terkini
KPM, KBS perlu proaktif kempen tolak LGBT
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu mengambil langkah proaktif mengadakan kempen menolak agenda songsang LGBT dalam kalangan pelajar dan generasi muda hari ini.
- Pihak berautoriti khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu mengambil langkah proaktif mengadakan kempen menolak agenda songsang LGBT dalam kalangan pelajar dan generasi muda hari ini.
- Langkah itu penting untuk menyelamatkan generasi hari ini daripada menerima pakai atau menormalisasikan budaya songsang itu di Malaysia.
- Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (IGuru), Mohd Azizee Hasan berkata setakat ini beliau tidak melihat ada keseriusan daripada pihak berautoriti dalam pendidikan ataupun KPM untuk mengadakan kempen-kempen sedemikian.
- Beliau mengulas isu Suruhanjaya Pembaharuan Undang-undang Australia (ALRC) mengeluarkan kertas kerja dilihat berniat memusnahkan sekolah agama di Australia dengan memaksa ideologi LGBT diajarkan di institusi pendidikan itu.
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu mengambil langkah proaktif mengadakan kempen menolak agenda songsang LGBT dalam kalangan pelajar dan generasi muda hari ini.
Langkah itu adalah penting untuk menyelamatkan generasi hari ini daripada menerima atau menormalisasikan budaya songsang itu di Malaysia.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (IGuru), Mohd Azizee Hasan berkata setakat ini beliau tidak melihat ada keseriusan daripada pihak berautoriti dalam pendidikan ataupun KPM untuk mengadakan kempen-kempen sedemikian.
“Kerajaan perlu lakukan tindakan drastik bagi membendung fahaman dan ideologi ini walaupun kita tidak nafikan pemikiran ini sudah sebahagiannya menyelinap masuk dalam kalangan anak muda yang memperjuangkan agenda kebebasan hak asasi manusia.
“Apabila kita membenarkan, ia menjadi satu ancaman kepada sistem kenegaraan kita, kekeluargaan, keagamaan dan yang paling penting dia mengancam sistem sosialisasi kita.
“Jadi perkara ini perlu diambil tindakan tegas dan kita sama sekali tidak boleh membenarkan ideologi ataupun fahaman LGBT ini diterapkan dalam sistem pendidikan kita,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
Mohd Azizee berkata demikian ketika mengulas isu Suruhanjaya Pembaharuan Undang-undang Australia (ALRC) mengeluarkan kertas kerja yang dilihat berniat memusnahkan sekolah agama di Australia dengan memaksa agenda LGBT di institusi pendidikan itu.
Memetik laporan Binary, sekolah Kristian, Yahudi dan Islam di negara itu akan dipaksa mengajar ideologi LGBT yang bertentangan dengan kepercayaan agama mereka.
Mohd Azizee berkata tindakan dilakukan suruhanjaya itu jelas membuktikan mereka ingin menyekat sistem pendidikan Islam di Australia dengan memaksa pelajar menerima LGBT sebagai satu kepercayaan baharu yang boleh diguna pakai.
Beliau mendakwa usaha itu bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat antarabangsa, malah di sini dengan pihak turut memperjuangkan dan menuntut kebebasan sama bagi kelompok LGBT. — The Merdeka Times