Terkini
KBS digesa siasat menyeluruh kes kematian pendaki Everest
Pendaki Everest dan Penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta penganjur melakukan siasatan menyeluruh terhadap insiden kematian dan kehilangan pendaki negara di gunung itu.
- Pendaki Everest dan Penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta penganjur melakukan siasatan terhadap insiden kematian dan kehilangan pendaki negara di gunung itu.
- Katanya, kerana ia insiden kematian pertama sejak misi pendakian Everest Malaysia 1997 sehingga 2023.
- Pendakian ke puncak Everest bukanlah sesuatu mudah dan boleh didaki sesuka hati.
- “Walaupun kita mempunyai wang dan penaja, tidak semestinya kita boleh sampai ke puncak Everest,” katanya.
KUALA LUMPUR: Pendaki Everest dan Penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta penganjur melakukan siasatan menyeluruh terhadap insiden kematian dan kehilangan pendaki negara di gunung itu.
Katanya, ini kerana ia insiden kematian pertama sejak misi pendakian Everest Malaysia 1997 sehingga 2023.
Katanya, pendakian ke puncak Everest bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh didaki sesuka hati.
“Ianya memerlukan latihan yang intensif, persediaan yang rapi dan pendaki juga perlu didedahkan dengan pengalaman mendaki ke gunung-gunung bersalji dan latihan teknikal.
“Walaupun kita mempunyai wang dan penaja, tidak semestinya kita boleh sampai ke puncak Everest,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Qobin, beliau terpaksa berlatih lebih dua tahun di dalam dan luar negara termasuk ke Nepal beberapa kali sebelum mendaki Everest pada tahun 2004.
“Di Nepal pula saya perlu mengadaptasikan diri dengan gunung di sana selama dua bulan sebelum sampai ke puncak pada 16 Mei 2004 lalu.
“Ini bagi memastikan badan kita bersedia dan dapat bertahan dalam keadaan suhu sejuk yang ekstrim dan cuaca yang tidak menentu.
Beliau berkata, untuk mendaki ke puncak Everest bermula dari Kem 4 dengan ketinggian 7,900 meter (kem terakhir) pada 2004 lalu, beliau mengambil masa 10 jam untuk sampai ke puncak 8,848 (900 meter ketinggian) dan turun semula ke Kem 4 dengan mengambil masa selama lapan jam.
“Memang kita akan mengalami kepenatan melampau atau keletihan yang teruk.
“Sekiranya kita tidak cukup stamina, kita pasti akan menghadapi perkara ini dan boleh menyebabkan kita mengalami Penyakit Akut Gunung atau AMS,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut mengucapkan takziah di atas kematianpendaki Malaysia Everest yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub dan berdoa agar Pendaki Everest, Muhammad Hawari Hashim segera ditemui selepas dilaporkan hilang lebih 24 jam.
Katanya, beliau berharap agar arwah selamat di bawa pulang dengan sempurna dan memohon agar kerajaan serta penganjur membantu keluarga arwah dengan bantuan yang sewajarnya.
Terdahulu, seorang pendaki program Malaysia Everest 2023 (ME 2023) dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian di gunung tertinggi dunia itu.
Sumber: Berita Harian