Connect with us

Terkini

Tarik balik keputusan kenakan cukai cecair vape – Pemuda UMNO

Pemuda UMNO mencadangkan kerajaan menilai dan menarik semula keputusan mengenakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) yang mula dikuatkuasakan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Tarik balik keputusan kenakan cukai cecair vape – Pemuda UMNO
Foto: Dr Muhamad Akmal Saleh.
  • Pemuda UMNO cadangkan kerajaan menilai dan menarik semula keputusan kenakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) yang mula dikuatkuasakan.
  • Keputusan itu perlu dinilai semula sehingga Parlimen meluluskan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok bagi mewujudkan GEG rokok dan vape, supaya kesan buruk jangka masa panjang terhadap kesihatan rakyat dapat dikurangkan. – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh
  • Beliau berkata rasional terhadap cadangan itu adalah Akta GEG perlu dilaksanakan terlebih dahulu, kemudian barulah kerajaan wajar keluarkan cecair vape yang bernikotin ini daripada Akta Racun 1952.
  • “Ia agar cukai tinggi boleh dikenakan ke atas pengguna tidak tergolong dalam generasi penamat untuk mengurangkan kadar penggunaan vape dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan semalam.

PUTRAJAYA: Pemuda UMNO mencadangkan kerajaan menilai dan menarik semula keputusan mengenakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) yang mula dikuatkuasakan.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata keputusan itu perlu dinilai semula sehingga Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok bagi mewujudkan generasi penamat (GEG) rokok dan vape, supaya kesan buruk jangka masa panjang terhadap kesihatan rakyat dapat dikurangkan.

Beliau berkata, rasional terhadap cadangan itu adalah Akta GEG perlu dilaksanakan terlebih dahulu, kemudian barulah kerajaan wajar mengeluarkan cecair vape yang bernikotin ini daripada Akta Racun 1952.

“Ia agar cukai tinggi boleh dikenakan ke atas pengguna tidak tergolong dalam generasi penamat untuk mengurangkan kadar penggunaan vape dalam kalangan masyarakat.

“Pemuda UMNO berpendirian tegas agar cadangan dikemukakan ini dapat dipertimbangkan secara serius oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya juga akan menyerahkan surat berhubung perkara ini, menyatakan bantahan serta cadangan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bermula semalam, kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk e-rokok pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).

Pelaksanaan cukai itu diumumkan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan semalam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Sementara itu, warta dikeluarkan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menyatakan, tampalan, cecair dan gel nikotin untuk membantu menghentikan tabiat merokok kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

Susulan itu, KKM dilapor akan membentangkan RUU baharu untuk mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok yang mengandungi nikotin digunakan untuk tujuan merokok.

Dr Zaliha dilapor berkata, pembentangan RUU itu bagi memastikan wujud kawalan menyeluruh terhadap sediaan nikotin atau gel mengandungi nikotin dalam cecair rokok elektronik atau vape.

Katanya, KKM meletak sasaran membentang RUU baharu ini dengan segera pada sidang Dewan Rakyat, Mei ini.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Akmal berkata, mengeluarkan cecair vape yang mempunyai nikotin dari Akta Racun 1952 supaya ia boleh dikenakan cukai semata-mata, bukanlah tindakan wajar dan bijak pada ketika ini.

“Benar sebelum ini, semua cecair vape tidak dapat dikenakan cukai atas sebab cecair vape yang mempunyai nikotin ini berada di dalam senarai Akta Racun 1952.

“Akan tetapi implikasi terhadap kesihatan rakyat dalam jangka masa panjang adalah jauh lebih penting berbanding keuntungan diperoleh hasil pungutan cukai ke atas cecair vape ini,” katanya.

Beliau berkata, penarikan cecair yang mempunyai nikotin dari Akta Racun ini seolah-olah memberi lesen besar membenarkan rakyat Malaysia tanpa mengira umur untuk mengambil nikotin tanpa sebarang bentuk garis panduan.

“Kebimbangan Pemuda UMNO Malaysia sekiranya tiada garis panduan yang jelas, ia memberikan kesan yang besar khususnya kepada golongan muda untuk terdedah kepada pengambilan nikotin tanpa kawalan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *