Terkini
Elakkan penglibatan industri tembakau dalam polisi kawalan dan percukaian – Pakar Kesihatan
Penglibatan pihak dari industri tembakau dalam polisi kawalan dan percukaian produk tembakau perlu dielakkan selari dengan Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC).
- Ia selaras dengan Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC).
- Artikel 5.3 WHO FCTC menetapkan satu garis panduan pelaksanaan di mana langkah-langkah kawalan mesti diwujudkan iaitu mengehadkan sebarang interaksi bersama industri tembakau, memastikan ketelusan interaksi yang berlaku, menolak perkongsian dan perjanjian bersama industri tembakau dan mengelakkan konflik kepentingan bagi pegawai serta kakitangan kerajaan.
- Terdapat beberapa individu mendakwa wujud pengaruh tidak wajar industri e-rokok dan vape dalam penggubal undang-undang negara ini.
- “Yang Berhormat Menteri Kesihatan kena minta team teknikal yang diketuai oleh Ketua Pengarah KKM untuk lebih aktif dan visible dalam keputusan ini. Kurangkan penglibatan MOF (Menteri Kewangan) dan penekanan aspek hasil/cukai,” – Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
- Pelaksanaan pengecualian nikotin dalam Akta Racun 1952 dan cukai nikotin perlu ditangguhkan sehingga RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok diluluskan.
KUALA LUMPUR — Penglibatan pihak dari industri tembakau dalam polisi kawalan dan percukaian produk tembakau perlu dielakkan selari dengan Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC).
Menerusi hantaran di Facebook, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, penglibatan MOF (Kementerian Kewangan) dalam perkara ini juga perlu dikurangkan termasuk melibatkan penekanan terhadap aspek hasil mahupun cukai.
“”Highlight” kegunaan dan akses yang lebih mudah (over the counter) untuk produk bantuan berhenti merokok yang mengandungi nikotin (contoh nicotine patch).
“Yang Berhormat Menteri Kesihatan kena minta team teknikal yang diketuai oleh Ketua Pengarah KKM untuk lebih aktif dan visible dalam keputusan ini. Kurangkan penglibatan MOF (Menteri Kewangan) dan penekanan aspek hasil/cukai,” katanya mengulas isu nikotin yang melanda negara hari ini.
Terdahulu, terdapat beberapa individu mendakwa wujud pengaruh tidak wajar industri e-rokok dan vape dalam penggubal undang-undang negara ini.
Perkara didakwa seakan menunjukkan ada berlaku pelanggaran melibatkan Artikel 5.3 WHO FCTC menetapkan satu garis panduan pelaksanaan di mana langkah-langkah kawalan mesti diwujudkan iaitu mengehadkan sebarang interaksi bersama industri tembakau, memastikan ketelusan interaksi yang berlaku, menolak perkongsian dan perjanjian bersama industri tembakau dan mengelakkan konflik kepentingan bagi pegawai serta kakitangan kerajaan.
Mengulas lanjut, Dr Zainal meminta sebuah Pasukan Petugas Ad Hoc ditubuhkan untuk menangani isu nikotin ini dengan penglibatan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan serta kumpulan media dipercayai.
“Tangani dua isu kritikal : Teknikal dan Kesihatan Awam serta yang keduanya aspek politik terutama dari kumpulan yang menentang kerajaan dan PMX.
“Highlight-kan kelemahan PPKHT (Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004) di bawah Akta Makanan 1983 dalam kawalan Produk Tembakau terutama produk generasi baru. Naikkan cukai rokok.
“Tingkatkan dan ‘make it visible’ penguatkuasaan penjualan vape (illegal),” katanya hari ini.
Beliau turut meminta pelaksanaan pengecualian nikotin dalam Akta Racun 1952 dan cukai nikotin ditangguhkan sehingga Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok diluluskan.
Ini berikutan, apabila nikotin dikecualikan dari akta berkenaan, maka tiada lagi kawalan terhadap bahan itu sekali gus ia bebas dijual dan diguna mana-mana individu.
“Sekarang nikotin dikawal di bawah Akta Racun, bila dikecualikan, maknanya tiada kawalan langsung (free for all). Semua orang bebas buat, jual serta guna vape dan lain-lain. Ia “open the floodgate”,” katanya.
Justeru, RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok digesa untuk disegerakan dan pihak terkait perlu menunjukkan dengan jelas semua langkah diambil dalam memastikan RUU tersebut diluluskan pada sidang akan datang.
Bermula 1 April lalu, kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) di mana ia diumumkan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.
Sementara itu, warta dikeluarkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menyatakan, tampalan, cecair dan gel nikotin untuk membantu menghentikan tabiat merokok kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952 sekali gus mengetepikan keputusan Lembaga Racun sebelum ini.
Dr Zaliha juga dilaporkan akan membentangkan RUU baharu yang bakal mengawal selia semua produk merokok, termasuk bahan merokok mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.
Pihaknya menyasarkan RUU baharu itu akan dibentangkan dengan segera pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Parlimen Ke-15 yang dijangka bersidang pada Mei depan. — The Merdeka Times