Antarabangsa
Mengapa Trump tarik AS keluar dari WHO?

- Trump teruskan langkah keluar dari WHO.
- WHO dan lain-lain institusi kesihatan dikawal korporat dan China.
- WHO gagal tangani pandemik COVID-19.
- WHO juga gagal terima pakai pembaharuan yang “diperlukan.”
Pada satu perhimpunan kempen pada September tahun lalu, Presiden AS Donald Trump menyatakan bahawa beliau akan “melawan rasuah” dalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan institusi kesihatan awam lain yang menurutnya “dikuasai” oleh kuasa korporat dan China.
Arahan eksekutif yang dikeluarkan pada Isnin menyatakan bahawa AS menarik diri dari WHO kerana kelemahan organisasi tersebut dalam menangani pandemik COVID-19 yang bermula di Wuhan, China, serta krisis kesihatan global lain.
Trump turut mengkritik WHO atas kegagalan organisasi tersebut melaksanakan pembaharuan yang amat diperlukan dan ketidakmampuan untuk menunjukkan kebebasan daripada pengaruh politik yang tidak wajar dari negara-negara anggota WHO.
Jelasnya, WHO telah membuat beberapa kesilapan besar sepanjang pandemik, termasuk menasihati orang ramai untuk tidak memakai pelitup muka dan mendakwa bahawa COVID-19 tidak boleh merebak melalui udara.
Organisasi tersebut bagaimanapun hanya mengakui secara rasmi tahun lalu bahawa virus ini memang boleh tersebar melalui udara.
Tambah Trump, sepanjang usaha untuk membendung COVID-19, WHO juga menghadapi skandal penyalahgunaan seksual terbesar dalam sejarahnya, apabila laporan media mendedahkan bahawa puluhan wanita Kongo telah diserang secara seksual oleh responden kesihatan yang bekerja untuk menangani Ebola.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, WHO menyatakan bahawa mereka “kesal” dengan pengumuman Trump.
“Kami berharap Amerika Syarikat akan mempertimbangkan semula keputusan ini dan kami menantikan untuk terlibat dalam dialog yang konstruktif untuk mengekalkan kerjasama antara AS dan WHO,” kata organisasi itu.
“Selama lebih tujuh dekad, WHO dan AS telah menyelamatkan nyawa yang tidak terhitung jumlahnya dan melindungi rakyat Amerika serta seluruh dunia dari ancaman kesihatan,” tambah WHO.
Dalam sidang media di Geneva pada Selasa, jurucakap WHO, Tarik Jasarevic, berkata bahawa AS menyumbang 18% kepada bajet WHO pada tahun 2023, menjadikannya penyumbang terbesar pada tahun tersebut. Namun, beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai apa implikasi penarikan diri AS terhadap WHO. -The Merdeka Times
