Terkini
Tutup kantin sekolah, bawa bekal sendiri didik murid bukan Islam jauhi Islamofobia
Penutupan kantin sekolah sepanjang bulan Ramadan dapat membantu murid-murid bukan beragama Islam menjauhi ancaman Islamofobia dalam negara ini.

- Penutupan kantin sekolah sepanjang bulan Ramadan dapat membantu murid-murid bukan Islam mencegah ancaman Islamofobia dalam negara ini.
- Zaman dahulu murid-murid yang tidak berpuasa akan membawa bekal sendiri untuk makan pada waktu rehat.
- Murid-murid yang mampu berpuasa dengan baik pula tidak akan membawa bekal makanan ke sekolah.
- “Kantin tidak dibuka. Kesan positifnya.. mereka terdidik dengan suasana.. mengajar mereka puasa itu PENTING,” – Pendakwah bebas, Ustaz Aireroshairi Roslan,
- Murid-murid bukan beragama Islam pula akan terdidik untuk menghormati Islam, mendedahkan mereka kepada cara hidup Islam.
KUALA LUMPUR – Penutupan kantin sekolah sepanjang bulan Ramadan dapat membantu murid-murid bukan beragama Islam menjauhi ancaman Islamofobia dalam negara ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan, 41, berkata pada zaman dahulu murid-murid yang tidak berpuasa akan membawa bekal sendiri untuk makan pada waktu rehat.
“Ibu bapa ambil tanggungjawab masing-masing untuk makan anak-anak yang belum mampu puasa.
“Kantin tidak dibuka. Kesan positifnya kepada murid-murid adalah mereka terdidik dengan suasana yang mengajar mereka puasa itu PENTING.
“Bagi kanak-kanak non-Muslim pula, mereka terdidik untuk menghormati Islam, mendedahkan mereka kepada cara hidup Islam dan memberi kesan kepada mereka untuk membuang jauh ISLAMOFOBIA dari diri mereka,” katanya dalam satu hantaran Facebook pagi tadi.
Beliau berpendapat bahawa suasana memainkan peranan penting dalam mendidik murid-murid di sekolah.
“Saya berpandangan, tiada keperluan untuk membuka kantin sekolah ketika puasa di sekolah majoriti Muslim,” katanya.
Menurutnya, murid-murid perlu didedahkan dengan amalan berpuasa dalam bulan Ramadan sejak dari kecil lagi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini menyarankan pengusaha kantin untuk terus beroperasi sepanjang bulan puasa walaupun bilangan murid bukan Islam kurang dari 10 peratus untuk menyantuni mereka.
Fadhlina berkata tidak ada masalah meneruskan pengoperasian kantin pada bulan Ramadan kerana mereka masih kecil dan memandangkan Malaysia sekarang berada di bawah pemerintahan Kerajaan Madani.
Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md Desa bagaimanapun berkata tidak wajar semua kantin sekolah dibuka sekiranya murid-murid bukan beragama Islam kurang dari 10 peratus.– The Merdeka Times
Sumber: Facebook Ustaz Aire Roslan – UAR
