Connect with us

Terkini

Tiada makna digelar wira negara andai kebajikan tidak dijaga – pegawai perubatan

“Penat. Marah. Sedih. Kecewa,” demikian luahan pegawai perubatan, Dr Amirul Azhar Zulkifli susulan kecoh di media sosial tentang permohonan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menaikkan elaun atas panggilan tidak dapat dipertimbangkan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Tiada makna digelar wira negara andai kebajikan tidak dijaga - pegawai perubatan
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Penat. Marah. Sedih. Kecewa,” demikian luahan pegawai perubatan, Dr Amirul Azhar Zulkifli susulan kecoh di media sosial tentang permohonan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menaikkan elaun atas panggilan tidak dapat dipertimbangkan.
  • “Itulah perasan hampir semua pegawai perubatan kerajaan di Malaysia kini. Kali ini bukan sahaja melibatkan pegawai perubatan kontrak, malah kesemua pegawai perubatan yang masih bersabar sebagai penjawat awam.”
  • Ada juga pihak yang mahu keperluan elaun kritikal diterima pegawai perubatan diteliti semula di mana ke semua perkara itu sangat sukar diterima akal pegawai perubatan yang dilihat semakin hilang harapan.
  • Perkara dibangkitkan mereka telah lama namun ia berterusan di bawah pelbagai jenis kerajaan sedangkan apa yang dituntut hanyalah pembelaan hak.
  • “Yang kami tuntut hanya pembelaan hak kami, tidak kira dari mana-mana pihak. Istilah wira negara, barisan hadapan negara dan sebagainya tidak bermakna buat kami jika kebajikan kami tidak dijaga.”

KUALA LUMPUR – “Penat. Marah. Sedih. Kecewa,” demikian luahan pegawai perubatan, Dr Amirul Azhar Zulkifli susulan kecoh di media sosial tentang permohonan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menaikkan elaun atas panggilan tidak dapat dipertimbangkan.

“Itulah perasan hampir semua pegawai perubatan kerajaan di Malaysia kini. Kali ini bukan sahaja melibatkan pegawai perubatan kontrak, malah kesemua pegawai perubatan yang masih bersabar sebagai penjawat awam. 

“Setelah sekian lama bersabar dengan sistem kontrak yang tidak adil, beban kerja yang semakin berat, waktu kerja yang melampau dan elaun atas panggilan (oncall) yang sangat sedikit pada masa kini.

“….Malah dihina segelintir masyarakat yang menyalahkan pegawai perubatan atas kelemahan sistem kesihatan negara, kini heboh tentang permohonan KKM kepada JPA untuk menaikkan elaun atas panggilan tidak dapat dipertimbangkan,” katanya di Facebook pada Selasa.

Menurutnya, keperluan dan kepentingan untuk meneruskan sistem atas panggilan turut dipersoalkan dalam kejadian itu. 

Ada juga pihak yang mahu keperluan elaun kritikal diterima pegawai perubatan diteliti semula di mana ke semua perkara itu sangat sukar diterima akal pegawai perubatan yang dilihat semakin hilang harapan.

Perkara sedemikian turut menimbulkan persoalan, adakah pihak pentadbir dan pembuat polisi benar-benar memahami tentang apa yang dipersoalkan golongan ini.

Katanya, apabila seseorang pegawai perubatan bekerja atas panggilan aktif, individu terbabit bukanlah duduk di rumah dan hadir bekerja apabila mendapat panggilan dari hospital. 

Walaupun, situasi itu berkemungkinan berlaku dalam sebilangan kecil jabatan namun ia mustahil bagi majoriti jabatan-jabatan di hospital seperti rawatan rapi, kecemasan, perubatan, pembedahan, sakit puan, kanak-kanak dan lain-lain.

“Kami bekerja selama 24 ke 36 jam ketika bekerja atas panggilan tanpa henti di hospital. Adakala sampai tiada masa untuk berehat, makan dan tidur langsung. Mungkin patut digunakan istilah lain dari atas panggilan atau ‘oncall’ kerana boleh memberi salah tafsir.

“Jika mahu mempersoalkan keperluan dan kepentingan sistem atas panggilan, bolehkah hospital beroperasi hanya pada waktu pejabat? Itu sesuatu yang mustahil. 

“Jika nak wujudkan sistem shift siang dan malam, cukupkah pegawai perubatan untuk menampung shift tersebut di seluruh negara? Ramai pegawai perubatan sebenarnya lebih gembira jika tidak perlu bekerja atas panggilan kerana lebih masa bersama keluarga, boleh buat perniagaan sampingan, menimba ilmu lain dan sebagainya kerana bayaran yang diberi tak setimpal dengan penat lelah ketika bekerja atas panggilan,” katanya.

Dr Amirul berkata tidak hairanlah mengapa ramai pegawai perubatan lebih-lebih lagi pegawai perubatan kontrak membuat keputusan untuk bekerja di sektor swasta, berhijrah ke luar negara atau memulakan karier baru di bidang lain. 

Beliau tidak menafikan bahawa sebagai rakyat Malaysia kita perlu berjasa kepada negara, namun mereka juga mempunyai keluarga, tanggungan serta kesihatan fizikal dan mental diri yang perlu dijaga.

Perkara dibangkitkan mereka telah lama namun ia berterusan di bawah pelbagai jenis kerajaan di sini sedangkan apa yang dituntut hanyalah pembelaan hak.

“Yang kami tuntut hanya pembelaan hak kami, tidak kira dari mana-mana pihak. Istilah wira negara, barisan hadapan negara dan sebagainya tidak bermakna buat kami jika kebajikan kami tidak dijaga.

“Sebahagian besar rakyat Malaysia masih bergantung kepada fasiliti dan servis kesihatan kerajaan, jika sektor ini lumpuh, perkara ini akan dirasai oleh majoriti rakyat Malaysia. 

“Bayangkan waktu menunggu rawatan yang semakin lama dan kualiti servis yang merudum akibat beban kerja berlebihan. Ini bukanlah ugutan tetapi realiti yang perlu pihak berkuasa beri perhatian,” katanya dalam hantaran itu yang mendapat lebih 450 perkongsian.

Dalam perkembangan lain, di Instagram DoctorsMalaysia, terdapat hantaran yang menggesa supaya doktor kontrak seluruh negara tampil menyertai mogok selama tiga hari pada 3 hingga 5 April.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengulas gesaan itu menegaskan bahawa mogok bukan suatu jalan penyelesaian terbaik dan permasalahan yang timbul perlu ditangani dengan penglibatan bersama serta cara lebih berhemah. – The Merdeka Times

Sumber: Facebook Amirul Azhar Zulkifli

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *