Terkini
Sultan Selangor puji pendirian PM tak iktiraf LGBT, konsep negara sekular
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta konsep negara sekular.
- Sultan Selangor puji pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf golongan LGBT serta konsep negara sekular.
- “Jaminan diberikan Perdana Menteri adalah bertepatan dan kena pada waktunya bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius di dalam memelihara prinsip Islam yang berteraskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah,” titah baginda.
PUTRAJAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta konsep negara sekular.
Titah baginda, jaminan itu bertepatan waktunya untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius memelihara prinsip Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Baru-baru ini Beta telah membaca petikan akhbar berkaitan ketetapan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tentang jaminan untuk tidak mengiktiraf golongan LGBT dan konsep negara sekular.
“Jaminan diberikan Perdana Menteri adalah bertepatan dan kena pada waktunya bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius di dalam memelihara prinsip Islam yang berteraskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah,” titah baginda sempena Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Kali Ke-69 di Istana Melawati, di sini, hari ini.
Sultan Sharafuddin pada masa sama turut berharap para wakil rakyat dan menteri akan menumpukan usaha menyelesaikan pelbagai kemelut dihadapi rakyat, serta mengembalikan kemakmuran dan kegemilangan negara, sebagaimana diamanahkan.
Mengenai MKI, Sultan Selangor bertitah ia akan menjadi titik tolak dalam usaha mengembalikan peranan mentadbir agama Islam kepada pihak yang berhak.
Baginda yang julung kali mempengerusikan mesyuarat majlis itu sejak dipilih sebagai Pengerusi MKI tahun lalu, berharap semua pihak menghormati peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu.
“Beta yakin dengan bermulanya lembaran baharu ini, Majlis Raja-Raja sebagai suara Raja-Raja Pemerintah di Malaysia dapat memainkan peranan sewajarnya untuk memajukan pentadbiran Islam di peringkat Persekutuan dan membolehkan hubungan lebih akrab dengan negeri-negeri, selari lunas perlembagaan,” titah baginda.
Baginda turut menyeru semua pihak memberikan sokongan padu kepada usaha mendaulatkan Islam dan memperkasakan MKI serta meletakkan pentadbiran institusi agama Islam di peringkat Persekutuan pada landasan yang sepatutnya.
“Wakil-wakil di negeri masing-masing juga hendaklah mengusulkan apa-apa cadangan yang dilaksanakan di peringkat negeri yang sesuai dikongsikan untuk kepentingan bersama bagi negara kita dan umat Islam.
“Beta mengharapkan dengan bermulanya lembaran baharu MKI ini, kita semua mampu berjalan seiring dengan semangat dan mentaliti yang baharu, membawa perubahan yang baik dalam usaha mendaulatkan Islam di Malaysia,” titah Sultan Sharafuddin.
Ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-258 tahun lalu, Sultan Sharafuddin dipilih sebagai Pengerusi MKI untuk tempoh dua tahun.
Sebelum ini, jawatan itu disandang perdana menteri bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Sumber: BERNAMA