Terkini
“Ramasamy sebenarnya yang rasis” – Tun M
“Ramasamy sebenarnya yang rasis. Dia menentang Melayu dan tidak mahu mereka mendapat sedikit pun bahagian di dalam negara ini.”
- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat hantaran di Facebook semalam membidas tuduhan Timbalan Ketua Menteri ll Pulau Pinang, Dr P Ramasamy yang mendakwanya bersifat perkauman.
- Ramasamy dikatakan tersinggung dengan kenyataannya yang membezakan keturunan pendatang dari China dan India sebagai ‘orang asing’.
- Mahathir menegaskan yang terma ‘orang asing’ itu adalah pilihan kaum berkenaan sendiri.
“Ramasamy sebenarnya yang rasis. Dia menentang Melayu dan tidak mahu mereka mendapat sedikit pun bahagian di dalam negara ini.”
Demikian kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi hantaran di Facebooknya semalam bagi mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri ll Pulau Pinang, Dr P Ramasamy yang dikatakan tersinggung dengan kenyataannya yang masih membezakan keturunan pendatang dari China dan India sebagai ‘orang asing’.
Menerusi hantaran itu, Mahathir berkata terma ‘orang asing’ itu adalah pilihan kaum itu sendiri apabila mereka mahu dikenal sebagai Cina Malaysia atau India Malaysia, manakala kaum Melayu pula sememangnya sudah dikenali sebagai orang Malaysia.
“…orang Cina dan India di Malaysia bertegas untuk bertutur di dalam Bahasa Cina dan India. Sebelum ini mereka bertutur di dalam dialek daerah asal mereka. Tetapi apabila China memutus untuk jadikan Mandarin sebagai Bahasa kebangsaan, orang Cina di Malaysia juga turut beralih kepada Mandarin.
“Masyarakat India di India tolak Bahasa kebangsaan. Mereka bertutur bahasa daerah mereka. Dan India di Malaysia juga mengekalkan Bahasa daerah-daerah di India,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Memetik kenyataan Ramasamy di laman Facebooknya pada Isnin, beliau berkata yang Mahathir mungkin terlupa akan asal usul keturunannya yang juga warga asing dari Kerala, India.
“Ya, nenek moyang saya dari India. Tapi saya tak gelar diri saya India Malaysia,” ulas Mahathir.
Beliau turut menerangkan definisi Melayu mengikut Perlembagaan Malaysia ialah seseorang yang bertutur bahasa Melayu, mengamal adat dan budaya Melayu serta beragama Islam.
“Saya memenuhi kesemua syarat ini. Begitu juga beratus ribu orang lain yang berasal dari Timur Tengah, India, Pakistan, Bangladesh, Turkiye dan Afghanistan yang diterima sebagai Melayu oleh semua orang di dalam negara ini. Mereka tidak menggelar diri mereka Arab Malaysia atau Pakistani Malaysia dan sebagainya,” tambahnya.
Dalam pada itu, Mahathir memberi contoh beberapa pemimpin negara lain yang berketurunan asing tetapi masih diterima sebagai kaum negara berkenaan.
“Rishi Sunak berketurunan India, tetapi pertuturan dan kelakuannya adalah British. Thaksin Shinawatra berketurunan China tetapi bertutur Thai dan berkelakuan Thai. Begitu juga Corazon Aquino di Filipina.”
Oleh itu, beliau menafikan tuduhan Ramasamy yang mendakwanya bersifat perkauman.
“…Ramasamy kerap tuduh saya perkauman. Saya ulang yang saya bukan perkauman. Saya bangsa sebuah negara bernama Malaysia. Saya ada hak ke atas sebahagian daripada kekayaan negara ini, negara saya”. – The Merdeka Times