Terkini
Persatuan Farmasi Malaysia bantah cadangan kecualikan nikotin cecair di bawah Akta Racun 1952
Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) membantah sekeras-kerasnya cadangan untuk mengecualikan nikotin cecair atau gel di bawah Akta Racun 1952.
- Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menerusi satu kenyataan di Facebook membantah sekeras-kerasnya cadangan untuk mengecualikan nikotin cecair atau gel di bawah Akta Racun 1952.
- Kenyataan itu dibuat susulan satu mesyuarat Lembaga Racun yang bakal diadakan bagi membincangkan pengecualian kawalan nikotin di bawah Akta Racun 1952 bagi membolehkan ia dikenakan cukai oleh kerajaan.
- “Mengecualikan ia daripada Akta Racun 1952 akan menghantar mesej yang salah kepada orang ramai, terutamanya golongan muda, dan boleh membawa kepada peningkatan dalam penggunaan e-rokok dan vape,” – Kenyataan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS).
KUALA LUMPUR – Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) membantah sekeras-kerasnya cadangan untuk mengecualikan nikotin cecair atau gel di bawah Akta Racun 1952.
Demikian kenyataan di laman Facebook rasmi persatuan itu semalam susulan satu mesyuarat Lembaga Racun yang bakal diadakan bagi membincangkan pengecualian kawalan nikotin di bawah Akta Racun 1952 bagi membolehkan ia dikenakan cukai oleh kerajaan.
“MPS percaya bahawa cadangan pengecualian gel atau cecair nikotin daripada peraturan kawalan racun di bawah Akta Racun 1952 akan menjejaskan usaha untuk melindungi kesihatan dan keselamatan awam.
“Mengecualikan ia daripada Akta Racun 1952 akan menghantar mesej yang salah kepada orang ramai, terutamanya golongan muda, dan boleh membawa kepada peningkatan dalam penggunaan e-rokok dan vape,” kata kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, MPS turut menggesa kerajaan untuk mengukuhkan peraturan mengenai e-rokok dan vape, termasuk sekatan ke atas pemasaran dan pengiklanan, dan untuk meningkatkan pendidikan awam tentang bahaya penggunaan nikotin.
“Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), vape telah dikaitkan dengan lebih 40 kematian di seluruh dunia, dengan lebih 2,000 kes kecederaan paru-paru dilaporkan di Amerika Syarikat sahaja.
“Nikotin adalah bahan yang sangat mengakibatkan ketagihan yang harus dikawal sama seperti racun yang lain”.
Terdahulu, kerajaan mencadangkan mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
Cadangan tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lalu. – The Merdeka Times