Connect with us

Terkini

MITI akui wujud ketidakpadanan pekerjaan membabitkan TVET

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengakui wujud ketidakpadanan pekerjaan yang sangat ketara membabitkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

MITI akui wujud ketidakpadanan pekerjaan membabitkan TVET
Foto: Liew Chin Tong.
  • Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong, berkata pihaknya sedang memperhalusi isu berkenaan yang perlu diatasi segera.
  • “Memang betul ada ‘mismatch’ (ketidakpadanan) ketara. Sebelum ini kerajaan terdahulu tidak ada satu pendekatan secara seragam (bagi menanganinya), kebanyakan agensi bekerja secara berasingan.”
  • “Justeru, hasrat Kerajaan Perpaduan adalah untuk membaiki keadaan itu dan kurangkan jurang ketidakpadanan ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
  • Chin Tong berkata, MITI turut mencadangkan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta terpilih mengambil alih pengurusan sebahagian institusi TVET.
  • Melalui langkah itu, beliau berkata, latihan dan pendidikan institusi dapat ditambah baik, selari dengan keperluan industri, sekali gus meningkatkan kadar kebolehpasaran pelajar TVET.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengakui wujud ketidakpadanan pekerjaan yang sangat ketara membabitkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Susulan itu, Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong, berkata pihaknya sedang memperhalusi isu berkenaan yang perlu diatasi segera.

“Memang betul ada ‘mismatch’ (ketidakpadanan) ketara. Sebelum ini kerajaan terdahulu tidak ada satu pendekatan secara seragam (bagi menanganinya), kebanyakan agensi bekerja secara berasingan.

“Justeru, hasrat Kerajaan Perpaduan adalah untuk membaiki keadaan itu dan kurangkan jurang ketidakpadanan ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dibangkitkan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai perancangan MITI bagi menyelesaikan isu ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan graduan TVET.

Chin Tong berkata, MITI turut mencadangkan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta terpilih mengambil alih pengurusan sebahagian institusi TVET.

Melalui langkah itu, beliau berkata, latihan dan pendidikan institusi dapat ditambah baik, selari dengan keperluan industri, sekali gus meningkatkan kadar kebolehpasaran pelajar TVET.

Sementara itu, menyentuh isu gaji tenaga kerja TVET yang tidak memuaskan, Chin Tong berkata, perkara itu boleh diselesaikan jika semua pihak berkepentingan termasuk majikan mengambil tindakan sewajarnya.

“Gaji pekerja di negara kita sememangnya tidak memuaskan. Gaji median pada 2021 adalah RM2,250, situasi ini tidak boleh diterima anak muda kerana begitu rendah.

“Justeru, cadangan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) supaya gaji dinaikkan harus dilaksanakan supaya gaji graduan TVET lebih tinggi dan akhirnya gaji pekerja seperti jurutera akan menjadi lebih tinggi.

“Jika gaji jurutera tidak naik, kita bimbang mereka akan berhijrah ke negara lain,” katanya.

Beliau berkata, MITI melihat struktur gaji pasaran buruh di negara ini terlampau rendah kerana kewujudan ramai pekerja warga asing tanpa kemahiran.

“Apabila majikan terus mengupah pekerja warga asing tanpa kemahiran, maka tiada insentif dan dorongan untuk syarikat membayar gaji berpatutan kepada warganegara kita yang berkemahiran.

“Justeru, anjakan paradigma ekonomi menuju ke arah ekonomi berkemahiran tinggi, teknologi tinggi, produktiviti tinggi, dengan gaji berpatutan mesti diusahakan demi masa depan negara dan rakyat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *