Connect with us

Politik

Urusan pendidikan Cina, urusan DAP – Anthony Loke

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook
  • Itu antara penegasan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook ketika mengetuai Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang baharu dalam satu lawatan hormat ke Dong Jiao Zong di Kajang baru-baru ini.
  • Lawatan itu bertujuan mendengar pembentangan dua pertubuhan utama pendidikan Cina serta mengadakan perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai cabaran serta hala tuju pembangunan pendidikan bahasa ibunda pada masa kini.
  • Dalam pertemuan selama dua jam itu, pelbagai isu dibincangkan secara aktif antara mereka, termasuk pengiktirafan Sijil UEC, kekurangan tenaga pengajar, sekolah kurang murid, pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), serta projek pembinaan Bangunan Pendidikan Cina.

KUALA LUMPUR — “Saya ingin menegaskan kepada semua, urusan masyarakat Cina adalah urusan DAP. Urusan pendidikan Cina juga adalah urusan DAP.”

Itu antara penegasan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook ketika mengetuai Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang baharu dalam satu lawatan hormat ke Dong Jiao Zong di Kajang baru-baru ini.

Lawatan itu bertujuan mendengar pembentangan dua pertubuhan utama pendidikan Cina serta mengadakan perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai cabaran serta hala tuju pembangunan pendidikan bahasa ibunda pada masa kini.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, pelbagai isu dibincangkan secara aktif antara mereka, termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC), kekurangan tenaga pengajar, sekolah kurang murid, pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), serta projek pembinaan Bangunan Pendidikan Cina.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan dilapor menyatakan mempertahankan pendidikan bahasa ibunda serta hak asasi dan demokrasi adalah nilai teras DAP di mana ia selaras perjuangan parti berkenaan sejak penubuhannya.

Pada masa sama, katanya mempromosikan kepelbagaian juga merupakan salah satu prinsip utama dalam dasar pentadbiran Kerajaan MADANI hari ini.

“Tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar sendiri telah mengunjungi Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin di Pulau Pinang, dan buat pertama kalinya dalam sejarah, peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina telah disalurkan sendiri olehnya, menunjukkan pengiktirafan Perdana Menteri terhadap sekolah-sekolah ini dan pendidikan Cina melalui tindakan nyata.

“Saya ingin menegaskan kepada semua, urusan masyarakat Cina adalah urusan DAP. Urusan pendidikan Cina juga adalah urusan DAP.

“Dahulu, DAP merupakan parti pembangkang, tetapi kini DAP berada dalam kerajaan. Kami akan menjalankan tugas dengan baik kerana kebanyakan kawasan Parlimen DAP berkait rapat dengan pendidikan Cina, dan kami juga perlu berkhidmat kepada pengundi. Oleh itu, kami pasti akan terus memperjuangkan pendidikan Cina,” katanya menerusi hantaran Facebook The Rocket di sini pada Khamis.

Dalam pertemuan itu juga, Presiden Dong Zong, Datuk Tan Yew Sing, Presiden Jiao Zong, Cheah Lek Aee dan Loke masing-masing menyampaikan ucapan, diikuti pembentangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dong Zong, Leong Sheng Yee.

Sebagai tanda sokongan kepada projek pembinaan Bangunan Kompleks Pendidikan Cina, Loke turut mengumumkan sumbangan RM200,000 daripada DAP kepada Dong Zong.

Pada Januari lalu, media melaporkan Anwar menyerahkan sendiri bantuan kerajaan berjumlah RM20.16 juta kepada 63 sekolah persendirian Cina di negara ini.

Kata beliau, kerajaan sekali lagi meneruskan pemberian peruntukan terhadap 63 sekolah persendirian Cina tahun ini, sebagai usaha menghargai khidmat dan kesetiaan mereka untuk menyesuaikan kurikulum pendidikan semasa serta menghormati bahasa kebangsaan. — The Merdeka Times

Author