Terkini
Jangan jadikan masjid, surau pentas politik menjelang PRN, titah Sultan Selangor
Baginda turut menitahkan semua pihak yang mengambil bahagian dalam pilihan raya agar mematuhi peraturan sedia.
- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) supaya berterusan keluarkan arahan dari semasa ke semasa agar umat Islam khususnya ahli politik tidak jadikan masjid dan surau di negeri ini sebagai pentas untuk berceramah dan berkempen menjelang PRN yang akan datang.
- “Beta mengambil kesempatan secara peribadi ingin mengingatkan semula kepada semua ahli yang berhormat agar tidak menjadikan masjid dan surau sebagai medan dan propaganda politik kepartian. Beta sudah beberapa kali bertitah dan mengingatkan MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar memastikan masjid dan surau bebas dari segala unsur-unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.”
- “Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah di kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannya,” titah Sultan Selangor pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ke-enam Dewan Negeri Selangor yang ke-14 di sini hari ini.
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) supaya berterusan mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa agar umat Islam khususnya ahli politik tidak menjadikan masjid dan surau di negeri ini sebagai pentas untuk berceramah dan berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Baginda turut menitahkan semua pihak yang mengambil bahagian dalam pilihan raya agar mematuhi peraturan sedia ada dan saling hormat menghormati satu sama lain.
“Ingatlah, tingkah laku orang-orang politik semasa tempoh kempen akan disaksikan dan dinilai oleh rakyat sebelum mereka membuat pemilihan.
“Beta mengambil kesempatan secara peribadi ingin mengingatkan semula kepada semua ahli yang berhormat agar tidak menjadikan masjid dan surau sebagai medan dan propaganda politik kepartian. Beta sudah beberapa kali bertitah dan mengingatkan MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar memastikan masjid dan surau bebas dari segala unsur-unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.
“Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah di kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannya,” titah Sultan Selangor pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ke-enam Dewan Negeri Selangor yang ke-14 di sini, hari ini.
Turut berkenan berangkat ke istiadat berkenaan adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Dalam titahnya, Sultan Sharafuddin turut berharap proses pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dapat dilaksanakan dengan segera secara teratur dan telus, menepati masa, kos serta kualiti yang ditetapkan agar dapat memberi manfaat sewajarnya kepada rakyat Selangor.
“Beta mengambil maklum usaha kerajaan beta melalui Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) yang sedang giat membangunkan KSSA bagi kegunaan rakyat.
“Keputusan ini diambil setelah melalui proses penilaian dan pertimbangan yang panjang dalam menentukan bahawa membangun kompleks sukan yang baru adalah lebih baik dari baikpulih stadium sahaja dan beta difahamkan kawasan pembangunan KSSA ini masih lagi kekal sebagai pusat fasiliti sukan dan rekreasi awam.
“Beta yakin KSSA ini dapat menjadi pemangkin kepada era baharu kegemilangan pasukan bola sepak Merah Kuning dan menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat Selangor,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai program dan kebajikan untuk manfaat rakyat di bawah kerangka Iltizam Selangor Penyayang.
Titah baginda, sebanyak 46 program dan inisiatif meliputi aspek pendidikan, kebajikan, perumahan, pembangunan modal insan dan kesihatan khusus untuk memperkasa rakyat Selangor.
“Beta berharap agar rakyat beta yang layak menyertai program-program ini mengambil peluang untuk menerima manfaat dari IItizam Selangor Penyayang,” titah baginda lagi.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri atas pengiktirafan sebagai penerima Geopark Kebangsaan yang pertama bagi projek Gombak Hulu Langat Geopark.
Titah baginda, projek berkenaan melibatkan 20 geo-tapak di daerah Gombak dan Hulu Langat merangkumi 112,955 kilometer persegi yang mempunyai kepentingan geologi selain terdapatnya kuarza terpanjang di Asia Tenggara, landskap pergunungan serta pembentukan beberapa lembangan daratan.
“Pengiktirafan Geopark akan memperkukuhkan komitmen kerajaan beta dalam usaha untuk memelihara alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat dan seterusnya menyokong usaha ke arah pencapaian Sustainable Development Goals (SDG) dan mencapai usaha memelihara warisan geologi, budaya dan biologi sebagai Geopark Kebangsaan yang ketujuh di Malaysia,” titah baginda.
Sumber: Berita Harian