Terkini
Isu perkauman berpunca dari ahli politik, bukan media – Tokoh Wartawan Negara
Ahli politik perlu berhenti menyalahkan media atas kenyataan berbaur perkauman yang datang daripada pemimpin parti-parti politik dalam negara.
- Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, golongan media memainkan peranan mereka sendiri untuk melaporkan berita dan bertanggungjawab ke atas sebarang berita yang dilaporkan.
- “Saya amat kesal dengan kenyataan seorang menteri yang menyalahkan media kononnya sengaja mahu meniup api bagi isu-isu sensitif, khususnya tentang kaum dan agama.”
- “Saya menyeru para menteri agar jangan salahkan media apabila keadaan jadi buruk atau tidak seperti mana mereka harapkan. Jangan salahkan orang yang membawa mesej. Jangan kecam media bagi elakkan daripada dipersalahkan oleh sebab langkah yang silap, keterlanjuran atau kesilapan mereka sendiri.”
- “Pengamal media faham peranan mereka dalam negara Malaysia yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum dan agama. Sementara menjunjung kebebasan media dan percaya sepenuhnya bahawa media yang bebas adalah tonggak demokrasi, namun demikian mereka cukup bertanggungjawab untuk tidak menyemarakkan ketegangan di antara kaum,” jelasnya dalam kenyataan.
PETALING JAYA: Ahli politik perlu berhenti menyalahkan media atas kenyataan berbaur perkauman yang datang daripada pemimpin parti-parti politik dalam negara.
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, golongan media memainkan peranan mereka sendiri untuk melaporkan berita dan bertanggungjawab ke atas sebarang berita yang dilaporkan.
“Saya amat kesal dengan kenyataan seorang menteri yang menyalahkan media kononnya sengaja mahu meniup api bagi isu-isu sensitif, khususnya tentang kaum dan agama.
“Tuduhan yang dilontarkan oleh menteri ke atas media tidak menepati sasaran. Hakikatnya media Malaysia telah mengamalkan kawalan kendiri dalam menangani isu yang membabitkan soal hubungan kaum di negara ini.
“Saya menyeru para menteri agar jangan menyalahkan media apabila keadaan menjadi buruk atau tidak seperti mana yang mereka harapkan. Jangan salahkan orang yang membawa mesej. Jangan kecam media bagi mengelakkan daripada dipersalahkan oleh sebab langkah yang silap, keterlanjuran atau kesilapan mereka sendiri,” jelas beliau dalam kenyataan.
Terdahulu, menteri berkenaan menghalakan rasa tidak senangnya kepada media sebagai reaksinya terhadap soalan wartawan yang memintanya memberikan komen mengenai program Jom Ziarah yang digerakkan oleh Projek Artikel 11.
Menteri itu sebaliknya mengeluarkan amaran keras kepada pengamal media supaya berhenti bertindak ‘mengapi-apikan’ isu tersebut dan menegaskan apa yang sudah berlaku sebagai ‘cukup’.
Menurut Johan, pengamal media negara ini berpegang kepada kebebasan media tetapi pada waktu yang sama, memastikan media yang bertanggungjawab.
Tambahnya, kekecohan yang berlaku akhir-akhir ini berpunca daripada ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan bukannya media.
“Peningkatan suhu dalam konteks hubungan kaum pada masa ini berakibat daripada ahli-ahli politik yang cuba mengapi-apikan isu perkauman demi kepentingan mereka sendiri.
“Beliau sepatutnya lebih bertanggungjawab membuat tuduhan tersebut. Saya terkejut beliau memberikan amaran keras agar pengamal media tidak menjadi batu api selain mendesak media agar menghentikan perbuatan itu.
“Pengamal media faham peranan mereka dalam negara Malaysia yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum dan agama. Sementara menjunjung kebebasan media dan percaya sepenuhnya bahawa media yang bebas adalah tonggak demokrasi, namun demikian mereka cukup bertanggungjawab untuk tidak menyemarakkan ketegangan di antara kaum,” jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia