Connect with us

Terkini

Elak isu dakwaan terpilih, wujud mekanisme lebih telus lantikan KP SPRM

Kerajaan dicadang mewujudkan satu mekanisme berhubung proses lantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan ia lebih telus serta adil.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Elak isu dakwaan terpilih, wujud mekanisme lebih telus lantikan KP SPRM-01
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata ia bagi pastikan sesiapa sahaja didakwa di mahkamah selepas ini tidak boleh menuduh dan menyalahkan suruhanjaya itu, kononnya pendakwaan dibuat bermotifkan politik.
  • “Minggu lalu dan hari ini, Ahli Parlimen Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) didakwa di mahkamah berkaitan isu rasuah dan apabila didakwa, Pagoh (Muhyiddin) mengatakan pendakwaannya bermotifkan politik dan terpilih.
  • “Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik ketika Pagoh (Muhyiddin) menjadi Perdana Menteri, jadi bagaimana boleh kata itu sebagai bermotif politik.
  • “Jadi untuk menyelesaikan perkara ini, saya berpendapat supaya kita perlu ada satu proses lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang lebih telus dan adil supaya pada masa akan datang, tiada orang apabila mereka didakwa, akan kata itu bermotifkan politik,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mewujudkan satu mekanisme berhubung proses lantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan ia lebih telus serta adil.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, berkata ia bagi memastikan sesiapa sahaja yang didakwa di mahkamah selepas ini tidak boleh menuduh dan menyalahkan suruhanjaya itu, kononnya pendakwaan dibuat bermotifkan politik.

“Minggu lalu dan hari ini, Ahli Parlimen Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) didakwa di mahkamah berkaitan isu rasuah dan apabila didakwa, Pagoh (Muhyiddin) mengatakan pendakwaannya bermotifkan politik dan terpilih.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik ketika Pagoh (Muhyiddin) menjadi Perdana Menteri, jadi bagaimana boleh kata itu sebagai bermotif politik.

“Jadi untuk menyelesaikan perkara ini, saya berpendapat supaya kita perlu ada satu proses lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang lebih telus dan adil supaya pada masa akan datang, tiada orang apabila mereka didakwa, akan kata itu bermotifkan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Poay Tiong berkata, mekanisme terbabit penting untuk memastikan Ketua Pesuruhjaya SPRM benar-benar bebas dan tidak boleh dipersalahkan jika ada individu didakwa di mahkamah.

Minggu lalu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Hari ini, Presiden BERSATU itu sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta, awal tahun lalu.

Beliau sebelum ini menyifatkan pertuduhan dikenakan ke atasnya sebagai pendakwaan terpilih dan tindakan politik berniat jahat, bertujuan melumpuh dan menghancurkan BERSATU serta PN.

Terdahulu, Datuk Seri Shahidan Kassim (PH-Arau) ketika sesi sama pada sebelah pagi menggesa Kerajaan Perpaduan merealisasikan hasrat mengangkat SPRM sebagai sebuah badan bebas dengan meletakkannya di bawah Parlimen.

Mengakui SPRM selama ini sudah menjalankan tugas dengan hebat, beliau berkata usaha itu akan memberikan gambaran bahawa agensi terbabit tidak terikat berbanding diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Ini (letak SPRM bawah Parlimen) bukan permintaan kami, tetapi permintaan PH. (Jadi) sekarang buat, kenapa tak duduk (letak SPRM) bawah Parlimen.

“Bila duduk bawah Parlimen, ia (SPRM) nampak tak terikat. Sekarang pun tak terikat, tetapi orang nampak ia terikat kerana duduk bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Kalau duduk bawah Parlimen, Ahli Parlimen boleh sama-sama tadbir SPRM supaya ia jadi lebih dahsyat dan hebat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *