Antarabangsa
Turkiye enggan sokong Sweden sertai NATO selagi tidak hentikan pembakaran al-Quran
Turkiye menolak memberi ‘lampu hijau’ kepada permohonan Sweden menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selagi ia membenarkan serangan terhadap kitab suci Islam, al-Quran.
- Turkiye tidak akan bersetuju kepada permohonan Sweden menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selagi ia membenarkan serangan terhadap kitab suci Islam, al-Quran.
- “Kami tidak akan berkata ya kepada kemasukan (Sweden) ke dalam NATO selagi anda membenarkan kitab suci kami, al-Quran, dibakar, dikoyak, dan dilakukan dengan (kelulusan) anggota keselamatan anda.” – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
- Bagaimanapun, Turkiye mempunyai pandangan berbeza yang lebih positif terhadap permohonan Finland.
Turkiye menolak memberi ‘lampu hijau’ kepada permohonan Sweden menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selagi ia membenarkan serangan terhadap kitab suci Islam, al-Quran.
Memetik laporan Middle East Monitor, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata pada Rabu, “Kami tidak akan berkata ya kepada kemasukan (Sweden) ke dalam NATO selagi anda membenarkan kitab suci kami, al-Quran, dibakar, dikoyak dan dilakukan dengan (kelulusan) anggota keselamatan anda.
“Kami mengikuti perkembangan berkaitan proses pembesaran NATO dengan teliti. Pandangan kami terhadap Finland adalah positif, tetapi tidak terhadap Sweden,” katanya, menandakan kesediaan untuk menyokong penyertaan Finland dalam NATO secara berasingan daripada Sweden.
Kenyataan itu dibuat susulan tindakan ahli politik ekstrimis Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran sebanyak dua kali.
Selepas membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, Paludan membakar senaskah lagi kitab suci itu di hadapan sebuah masjid di Denmark.
Sweden dan Finland membuat permohonan rasmi untuk menyertai NATO pada Mei tahun lalu.
Persetujuan sebulat suara dari semua negara anggota NATO adalah diperlukan untuk diterima menyertai pakatan itu, termasuklah Turkiye yang menganggotai NATO selama lebih tujuh dekad.
Sehingga kini, hanya Turkiye dan Hungary sahaja selaku negara anggota yang belum bersetuju terhadap permohonan kemasukan Sweden dan Finland.
Sumber: Middle East Monitor