Antarabangsa
Sweden halang rancangan individu mahu bakar kitab Taurat
Pihak berkuasa Sweden menghalang rancangan seorang individu untuk membakar kitab Taurat di hadapan Kedutaan Israel negara itu, demikian lapor Jordan News.

- Pihak berkuasa Sweden menghentikan rancangan seorang individu membakar kitab Taurat di hadapan Kedutaan Israel.
- Individu tersebut, seorang lelaki Muslim warga Sweden berusia 34 tahun.
- Dia membuat permohonan kepada pihak polis untuk berbuat demikian meskipun sudah dinasihatkan sebaliknya oleh Persatuan Muslim di Masjid Stockholm.
- Tujuan dia berbuat demikian sekadar mahu melihat adakah kesemua kitab suci menerima penghormatan sama dan kebebasan bersuara adalah dijamin untuk semua agama di Sweden.
- “Tak apalah. Saya mewakili diri saya sendiri,” kata individu itu sambil menegaskan tindakannya tidak menyasarkan golongan minoriti Yahudi di Sweden.
Pihak berkuasa Sweden menghalang rancangan seorang individu untuk membakar kitab Taurat di hadapan Kedutaan Israel negara itu, demikian lapor Jordan News.
Individu itu yang merupakan seorang lelaki Muslim warga Sweden berusia 34 tahun membuat permohonan kepada pihak polis tempatan untuk melakukan perkara itu.
Lelaki itu mengakui perbuatan membakar kitab suci adalah salah, namun dia mahu memastikan yang adakah kesemua kitab suci menerima penghormatan yang sama dan kebebasan bersuara adalah dijamin untuk semua agama di Sweden.
“Membakar kitab suci adalah menjijikkan, tetapi saya marah dan saya melakukannya untuk mencetuskan perdebatan mengenainya,” katanya kepada akhbar tempatan dipetik Jordan News.
Dia juga mengesahkan yang Persatuan Muslim di Masjid Stockholm menasihatkannya supaya tidak berbuat demikian.
“Wakil persatuan Islam menghubungi saya dan meminta saya tidak berbuat demikian. Mereka mengatakan ia bertentangan dengan Islam dan saya tidak mewakili orang Islam apabila saya membakar naskah Taurat di luar kedutaan Israel.
“Tak apalah. Saya mewakili diri saya sendiri,” katanya sambil menegaskan tindakannya tidak menyasarkan golongan minoriti Yahudi di Sweden.
Individu itu juga dilaporkan memohon untuk membakar kitab Injil di Dataran Sergel di Stockholm.
Kerajaan Sweden sebelum ini membenarkan ahli politik ekstrimis negara itu, Rasmus Paludan untuk membakar naskah al-Quran sebagai bantahan kepada Turkiye dan mendakwanya sebagai ‘kebebasan bersuara’.
Sumber: Jordan News
