Connect with us

Antarabangsa

Lelaki bakar al-Quran mati ditembak di Sweden, lima ditangkap

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Mangsa berusia 38 tahun dikenali sebagai Salwan Momika.
  • Pendakwaraya Rasmus Oman berkata, siasatan sudah dibuka dan lima orang sudah ditangkap.
  • Perdana Menteri Sweden mendakwa kuasa asing mungkin terlibat dalam kejadian tersebut.

STOCKHOLM — Seorang lelaki pelarian warga Iraq  mati ditembak di Sweden  setelah berulang-kali membakar al-Quran pada 2023. Mangsa berusia 38 tahun dikenali sebagai Salwan Momika.

Menurut penyiasat , Momika ditembak di selatan Stockholm. Perdana Menteri Sweden mendakwa kuasa asing mungkin terlibat dalam kejadian tersebut.

Pendakwaraya Rasmus Oman berkata, siasatan sudah dibuka dan lima orang sudah ditangkap.

Pada Ogos tahun lalu, perkhidmatan perisikan Sweden menaikkan tahap ancamannya kepada empat pada skala lima selepas pembakaran al-Quran menjadikan negara itu sebagai sasaran yang diutamakan.

Kerajaan Sweden mengecam perbuatan Salwan membakar al-Quran sambil menyatakan kebebasan bersuara dan undang-undang perhimpunan yang dilindungi oleh perlembagaan negara itu.

Ketika bercakap di Aftonbladet pada April 2023, Momika berkata dia tidak pernah berniat perbuatannya itu membawa sebarang masalah di Sweden, tempat dia tinggal sejak 2018.

“Saya tidak mahu memburukkan keadaan di negara ini yang menerima saya dan memelihara maruah saya,” katanya.

Pada Oktober 2023, Agensi Migrasi Sweden telah membatalkan permit pemastautinnya, dengan memetik maklumat palsu dalam permohonan asalnya, tetapi dia diberikan permohonan sementara kerana mengatakan terdapat halangan kepada penguatkuasaan pengusiran ke Iraq. — The Merdeka Times

Author