Terkini
R.I.P reformasi pendidikan negara – Penyelidik Pendidikan
R.I.P reformasi pendidikan negara.

- Penyelidik Pendidikan, Dr Anuar Ahmad menyifatkan harapan rakyat Malaysia untuk melihat reformasi sistem pendidikan negara seperti dijanjikan sebelum PRU15, sudah musnah.
- Ia susulan kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyifatkan kurikulum persekolahan di Malaysia setanding kurikulum negara lain.
- “Malah, bukan sahaja kurikulum sekolah yang ada sekarang telah dipertahankan dan dikatakan setanding kualitinya seperti negara Australia, Jepun, United Kingdom, Singapura dan Finland, cadangan masyarakat (khususnya para guru dan ibubapa) supaya diwujudkan jawatan pembantu guru bagi sekolah yang memerlukan juga ditolak mentah-mentah” – Dr Anuar Ahmad.
- Media melaporkan pakar pendidikan berpendapat silibus pembelajaran murid sekolah rendah tahap satu sepatutnya mengambil kira tahap kemampuan kanak-kanak dan tidak terlalu sukar hingga membebankan.
KUALA LUMPUR – R.I.P reformasi pendidikan negara.
Itu antara reaksi Penyelidik Pendidikan, Dr Anuar Ahmad susulan laporan berita memetik Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebagai berkata kurikulum persekolahan di Malaysia adalah setanding kurikulum negara lain.
Beliau berkata harapan rakyat Malaysia untuk melihat reformasi sistem pendidikan negara seperti dijanjikan sebelum PRU15, sudah musnah.
“Saya benar -benar terkesima. Antara rasa terkejut, sedih dan kecewa.
“Malah, bukan sahaja kurikulum sekolah yang ada sekarang telah dipertahankan dan dikatakan setanding kualitinya seperti negara Australia, Jepun, United Kingdom, Singapura dan Finland, cadangan masyarakat (khususnya para guru dan ibubapa) supaya diwujudkan jawatan pembantu guru bagi sekolah yang memerlukan juga ditolak mentah-mentah.
“Dua berita sedih dalam sehari untuk sistem pendidikan negara.
“”R.I.P reformasi pendidikan negara”,” kata Anuar dalam hantaran di Facebook pada Jumaat lalu.
Minggu lalu, Fadhlina dilaporkan berkata, dalam proses semakan kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan kajian perbandingan kurikulum persekolahan di Malaysia dengan negara lain seperti Singapura, Australia, Jepun, United Kingdom dan Finland.
Dapatan dari kajian itu menunjukkan kurikulum persekolahan di Malaysia adalah setanding dengan kurikulum di negara lain.
Sebelum ini, media melaporkan pakar pendidikan berpendapat silibus pembelajaran murid sekolah rendah tahap satu sepatutnya mengambil kira tahap kemampuan kanak-kanak dan tidak terlalu sukar sehingga membebankan.
Isu silibus tinggi mahupun Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sudah acapkali disuarakan guru dan ibu bapa yang mengharapkan permasalahan itu diselesaikan segera kerana dikhuatiri membunuh minat pelajar untuk belajar. – The Merdeka Times
Sumber : Facebook Anuar Ahmad
