Terkini
“PAC terdiri DAP dan Nurul Izzah sahkan perolehan vaksin dibuat secara teratur,” – bekas pembantu Muhyiddin
Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin mempersoal langkah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kesihatan membentangkan kertas putih perolehan vaksin Covid-19 sedangkan ia dilaksana secara teratur mengikut tatacara kewangan.
- Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin mempersoal langkah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan KKM membentangkan kertas putih perolehan vaksin Covid-19 sedangkan ia dilaksana secara teratur mengikut tatacara kewangan.
- “PAC mengesahkan perolehan vaksin telah dibuat secara teratur, Pengerusi PAC ketika itu ialah Ahli Parlimen DAP, Wong Kah Woh. Nurul Izzah Anwar juga adalah anggota PAC pada masa itu.
- “Jadi, ke mana nak dibuang laporan PAC setebal 521 muka surat itu? Ini semua kerja buang masa,” katanya di Facebook.
- Beliau menyifatkan laporan PAC setebal 521 muka surat berhubung perolehan vaksin sebelum ini sebagai membuang masa, jika pembentangan kertas putih dilakukan sekali lagi.
PETALING JAYA: Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin mempersoal langkah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kesihatan membentangkan kertas putih perolehan vaksin Covid-19 sedangkan ia dilaksana secara teratur mengikut tatacara kewangan.
Marzuki Mohamad berkata, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2021 juga memutuskan perkara itu dilaksanakan mengikut ketetapan.
Beliau menyifatkan laporan PAC setebal 521 muka surat berhubung perolehan vaksin sebelum ini sebagai membuang masa, jika pembentangan kertas putih dilakukan sekali lagi.
“PAC mengesahkan perolehan vaksin telah dibuat secara teratur, Pengerusi PAC ketika itu ialah Ahli Parlimen DAP, Wong Kah Woh. Nurul Izzah Anwar juga adalah anggota PAC pada masa itu.
“Jadi, ke mana nak dibuang laporan PAC setebal 521 muka surat itu? Ini semua kerja buang masa,” katanya di Facebook.
Marzuki berkata, keputusan perolehan vaksin juga dibawa ke Jemaah Menteri untuk kelulusan sebelum ini, ketika era pentadbiran Muhyiddin.
Katanya, dakwaan perolehan vaksin dibuat tanpa kelulusan Jabatan Peguam Negara juga menimbulkan persoalan.
“Keputusan perolehan vaksin telah dibawa ke Kabinet untuk kelulusan. Biasanya agensi-agensi berkaitan beri ulasan terlebih dahulu ke atas Memorandum Jemaah Menteri untuk perolehan vaksin.
“Saya percaya Jabatan Peguam Negara antara agensi yang beri ulasan. Itu hal keputusan Kabinet,” katanya.
Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata, sebahagian perolehan vaksin Covid-19 tidak mengikuti peraturan dan ditandatangani menteri tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.
Justeru, katanya, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa akan membentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin dan kos berkaitan pada sidang Parlimen akan datang.
Khairy Jamaluddin yang juga menteri penyelaras vaksin Covid-19 ketika perolehan itu dibuat, kemudiannya menolak dakwaan Anwar sambil menjelaskan semua perolehan dibuat kerajaan Perikatan Nasional sudah dibawa ke Jemaah Menteri.
Menurut laporan PAC, Putrajaya membayar harga premium kepada pengeluar vaksin, Sinovac Biotech Ltd untuk dos tertentu bagi mengimbangi kelewatan susulan proses “fill and finish” (pengilangan produk pukal kepada produk siap) Pharmaniaga.
PAC mendapati Putrajaya membayar 16.78% hingga 18.12% lebih tinggi daripada harga asal dipersetujui untuk 2.4 juta dos yang dihantar pada Mei dan Julai 2021 bagi mempercepatkan penghantaran vaksin.
Sumber : FMT & Facebook Marzuki Mohamad