Terkini
(VIDEO) Mogok bukan penyelesaian, Menteri Kesihatan ajak pekerja kesihatan bersemuka
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sedia bersemuka dengan pekerja kesihatan yang dikatakan mahu mengadakan mogok berikutan kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan di negara ini.
- Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sedia bersemuka dengan pekerja kesihatan yang dikatakan mahu mengadakan mogok berikutan kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan di negara ini.
- Beliau menerusi video di Tik Tok hari ini, memaklumkan bertekad selesaikan masalah itu dan meminta pihak berkaitan berfikir lebih matang.
View this post on Instagram
- Beliau memahami masalah dan keresahan pekerja sektor kesihatan, namun meminta diberikan sedikit masa dalam mencari penyelesaian terbaik.
PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sedia bersemuka dengan pekerja kesihatan yang dikatakan mahu mengadakan mogok berikutan kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan di negara ini.
Beliau menerusi video di Tik Tok hari ini, memaklumkan bertekad untuk menyelesaikan masalah itu dan meminta pihak yang berkaitan untuk berfikir dengan lebih matang.
“Saya sebenarnya mendengar ada pihak (mahu melakukan) ‘unannouced strike’, sama ada berlaku atau tidak, saya sendiri tidak ada kepastian
“Tetapi apapun saya minta kepada semua yang mungkin terbabit atau cuba terbabit dalam perkara ini, kena tahu bahawa perkara itu (mogok) tidak menyelesaikan masalah.
“Jadi yang terbaiknya kita bersemuka, anda boleh datang kepada saya. Saya minta kepada anda semua, kita berfikir dengan cara lebih matang, lebih baik, boleh datang berjumpa saya, berhubung dengan pegawai, kita bertemu, bersemuka (untuk) selesaikan masalah ini dan semuanya akan mendapat kebaikan daripada perkara ini,” katanya.
Katanya, beliau memahami masalah dan keresahan pekerja sektor kesihatan, namun meminta diberikan sedikit masa dalam mencari penyelesaian terbaik.
“Saya sangat faham mengenai masalah itu. Latar belakang saya sendiri sebagai doktor menyebabkan saya faham perkara itu dan bertekad untuk menyelesaikan masalah ini, kalau boleh hari ini, hari ini juga saya selesaikan.
“Bagaimanapun, semua kena faham ini memerlukan sedikit masa untuk untuk saya memahami lebih dalam perkara ini dengan sebaik-baiknya supaya penyelesaian terbaik dapat kita laksanakan,” katanya.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee membangkitkan kebimbangan mengenai khabar angin mendakwa akan berlaku mogok dalam kalangan petugas kesihatan.
Katanya, beliau mengetahui perkara itu daripada beberapa doktor berstatus kontrak dan tetap selepas kecewa dengan tekanan dihadapi sistem kesihatan di negara ini.
Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan mengambil serius sentimen pekerja kesihatan yang dikatakan mahu mengadakan mogok berikutan kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan di negara ini.
Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai, berkata biarpun tidak bersetuju dengan tindakan mogok itu, pihaknya memahami kekecewaan dan keletihan melampau dihadapi petugas berkenaan yang mahu suara mereka didengari.
Minggu lalu, Gerakan Hartal Doktor Kontrak memaklumkan bersedia melakukan mogok sekali lagi jika Kementerian Kesihatan terus ‘membisu’ dalam menangani isu berkaitan sistem kesihatan negara dalam tempoh tiga bulan ini.
Jurucakapnya, Dr Muhammad Yassin, berkata gerakan itu memberi tempoh tiga bulan kepada kementerian sebelum mogok dirancang untuk dilakukan secara besar-besaran.
Sumber : Berita Harian