Terkini
Menteri Agama syor Kementerian Kewangan untuk lihat kebajikan guru KAFA
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM sentiasa prihatin dengan isu kebajikan serta masalah elaun rendah dan perjawatan kontrak guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara.

- Menteri Agama, Senator Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata pihaknya semalam telah pun mengadakan perbincangan berkenaan hala tuju guru KAFA selain melihat pelbagai pilihan yang boleh membawa kebaikan buat guru-guru tersebut.
- “But at the end of the day kita akan syorkan kepada kerajaan khususnya kepada Kementerian Kewangan untuk melihat bagaimana kebajikan guru-guru KAFA ini dipastikan terjamin,” katanya kepada The Merdeka Times
- Ketika ini 35,000 guru KAFA yang menerima bayaran ‘upah’ rendah dan masih dalam perjawatan kontrak.
KAJANG – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM sentiasa prihatin dengan isu kebajikan serta masalah elaun rendah dan perjawatan kontrak guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata pihaknya semalam telah pun mengadakan perbincangan berkenaan hala tuju guru KAFA selain melihat pelbagai pilihan yang boleh membawa kebaikan buat guru-guru tersebut.
“But at the end of the day kita akan syorkan kepada kerajaan khususnya kepada Kementerian Kewangan untuk melihat bagaimana kebajikan guru-guru KAFA ini dipastikan terjamin,” katanya kepada The Merdeka Times ketika ditanya mengenai nasib malang 35,000 guru KAFA yang menerima bayaran ‘upah’ rendah dan masih dalam perjawatan kontrak.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media International Conference on Professional Huffaz (InFAZ) 2023 di sini hari ini.
“Maknanya kebajikan guru KAFA ini kita sangat prihatin dan saya secara peribadi mengucapkan jutaan terima kasihlah, kepada pengorbanan yang diberikan guru-guru KAFA ini.
“Dan sudah tentu kita akan berusaha melihat apa sahaja opsyen yang boleh memberikan kebaikan,” katanya.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan melihat semula isu elaun rendah dan perjawatan guru KAFA yang masih bertaraf kontrak sehingga kini.
Pihaknya ada berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berhubung isu tersebut memandangkan guru KAFA terletak di bawah JAKIM.
Ujarnya, permasalahan ini akan disemak semula selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tamat. – The Merdeka Times
