Connect with us

Terkini

Masalah penyelenggaraan jalan antara isu utama dibangkitkan Majlis Dialog Belanjawan 2023

Masalah penyelenggaraan jalan antara isu utama dibangkitkan dalam sesi jelajah Majlis Dialog Belanjawan 2023 di kebanyakan negeri.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Masalah penyelenggaraan jalan antara isu utama dibangkitkan Majlis Dialog Belanjawan 2023
Foto: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan (kanan) & Menteri Besar Perak, Dato' Haji Saarani bin Mohamad
  • Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata penyelenggaraan jalan Persekutuan perlu diberi tumpuan dalam belanjawan yang akan dibentangkan 24 Februari ini.
  • “Jalan Persekutuan kurang diselenggara dan ini antara perkara utama ditimbulkan pihak yang bertanya termasuk EXCO kerajaan negeri. Kita harap Kementerian Kerja Raya beri tumpuan terhadap perkara ini.”
  • “Ada masa lagi untuk beri peruntukan yang dimohon, contohnya bagi Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley dan Jalan Tapah-Ringlet. Jalan Persekutuan itu kurang diberi tumpuan,” katanya.

 

IPOH: Masalah penyelenggaraan jalan antara isu utama dibangkitkan dalam sesi jelajah Majlis Dialog Belanjawan 2023 di kebanyakan negeri.

Justeru, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata penyelenggaraan jalan Persekutuan perlu diberi tumpuan dalam belanjawan yang akan dibentangkan 24 Februari ini.

Bagi jalan negeri dan jalan kampung, katanya, peruntukan bagi tujuan itu agak mencukupi, masing-masing disalurkan melalui Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Jalan Persekutuan kurang diselenggara dan ini antara perkara utama ditimbulkan pihak yang bertanya termasuk EXCO kerajaan negeri. Kita harap Kementerian Kerja Raya beri tumpuan terhadap perkara ini.

“Ada masa lagi untuk beri peruntukan yang dimohon, contohnya bagi Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley dan Jalan Tapah-Ringlet. Jalan Persekutuan itu kurang diberi tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 yang terakhir di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Selain itu, Ahmad berkata manfaat kepada masyarakat Orang Asli juga antara perkara yang dibangkitkan semasa sesi dialog itu, meliputi kaedah meningkatkan bantuan perumahan kepada golongan terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, tiada cukai baharu, kenaikan siling hutang daripada 55 kepada 65 peratus serta peningkatan khidmat hutang kepada 15 peratus berbanding sembilan hingga 10 peratus daripada belanjawan tahunan, antara faktor peningkatan hutang negara kini mencecah RM1.5 trilion.

Katanya, semua keadaan itu susulan impak pandemik COVID-19 yang menyaksikan peningkatan hutang berbanding RM686 bilion ditinggalkan semasa era kejatuhan pentadbiran Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Antara punca hutang negara tinggi adalah kita tidak kenakan cukai baharu ketika COVID-19 melanda. Oleh itu, kita naikkan siling hutang sebanyak dua kali sebagai kaedah menambah peruntukan kerajaan yang mana kenaikan itu turut bererti hutang kerajaan juga bertambah.

“Pertambahan hutang negara tidak boleh dibiar berterusan sebab ia akan memberi beban kepada generasi akan datang.

“Khidmat hutang pula yang sudah meningkat kepada 15 peratus bererti akan memakan (memotong) belanja lagi lima peratus daripada keseluruhan belanjawan yang sepatutnya diberi kepada rakyat membabitkan jumlah berbilion ringgit,” katanya.

Mengenai saranan beberapa pihak berhubung pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Ahmad berkata, kerajana masih belum ada keputusan mengenainya.

“Saya tahu bahawa ini (pengenalan semula GST) adalah antara tumpuan persoalan, kita tunggulah apabila Dewan Rakyat bersidang nanti. Soalan mengenai GST, saya lihat ramai Ahli Parlimen ada soalan dan setakat ini saya hanya boleh menyatakan, belum ada keputusan mengenainya,” katanya.

Katanya, kerajaan akan sentiasa mencari idea baharu bagi menambah pendapatan negara termasuk dalam memenuhi kehendak serta keperluan rakyat.

“Kita ingin kurangkan hutang negara dan pada masa sama, kehendak rakyat melalui pelbagai tuntutan dan permohonan tidak pernah berkurang, sentiasa bertambah. Jadi kena ada kaedah bagaimana kita hendak penuhi tuntutan rakyat yang tiada had ini dengan pendapatan (negara) yang ada had,” katanya.

 

Sumber: Berita Harian

Author