Terkini
Malaysia ambil tindakan di Mahkamah Perancis cabar tuntutan kumpulan Sulu
Malaysia memutuskan mengambil beberapa tindakan perundangan melalui proses mahkamah di Perancis bagi terus mempertahankan kedudukan dan pendirian negara dalam mencabar tuntutan ‘kumpulan Sulu’.
- Susulan tindakan kumpulan Sulu masih teruskan prosiding timbang tara di Perancis bagi dapatkan award terakhir walaupun keputusan mahkamah di Sepanyol sebelum ini memihak kepada Malaysia. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said
- “Lanjutan dari ‘final award’ itu, bermula pelbagai permohonan tindakan penguatkuasaan oleh penuntut (Kesultanan Sulu) di Mahkamah Luxembourg dan Belanda. Perkara ini dijangka tidak berhenti hingga satu tindakan dan strategi mutlak diambil oleh kerajaan.”
- “Tuntutan dibuat oleh penuntut ini sudah ganggu gugat kepentingan aset di luar negara. Dalam hal ini, kerajaan tidak berkompromi dengan sebarang tuntutan dibuat penuntut dan sentiasa komited.”
- “Tujuan utama ‘war room’ adalah bagi beri khidmat sokongan pada sekretariat khas serta pantau kes perundangan, media antarabangsa serta strategi global bagi isu menangani tuntutan kumpulan Sulu,” katanya.
KUALA LUMPUR: Malaysia memutuskan mengambil beberapa tindakan perundangan melalui proses mahkamah di Perancis bagi terus mempertahankan kedudukan dan pendirian negara dalam mencabar tuntutan ‘kumpulan Sulu’.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia susulan tindakan kumpulan Sulu yang masih meneruskan prosiding timbang tara di Perancis bagi mendapatkan award terakhir walaupun keputusan mahkamah di Sepanyol sebelum ini memihak kepada Malaysia.
“Lanjutan daripada ‘final award’ itu, bermula pelbagai permohonan tindakan penguatkuasaan oleh penuntut (Kesultanan Sulu) di Mahkamah Luxembourg dan Belanda. Perkara ini dijangka tidak akan berhenti hingga satu tindakan dan strategi mutlak diambil oleh kerajaan.
“Tuntutan yang dibuat oleh penuntut ini sudah mengganggu gugat kepentingan aset di luar negara. Dalam hal ini, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang tuntutan yang dibuat oleh penuntut dan sentiasa komited,” katanya semasa membuat kenyataan menteri di bawah peraturan mesyuarat 14 (1) (i) di Dewan Rakyat, hari ini.
Awal bulan ini, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan perlembagaan luar biasa difailkan sekumpulan individu yang mendakwa diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu berhubung pembatalan pelantikan Dr Gondoza Stampa sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian antara Malaysia dan Sulu.
Pada masa sama, Azalina berkata, kerajaan sudah melantik peguam antarabangsa dari Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda untuk mewakili Malaysia dalam prosiding mahkamah di negara berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini kerajaan melantik peguam antarabangsa iaitu Tetuan Uría Menéndez di Sepanyol; Tetuan Bredin Prat di Perancis; Tetuan Arendt & Medernach SA di Luxembourg dan Tetuan De Brauw Blackstone Westbroek di Belanda.
“Sementara Tetuan Slaughter & May di United Kingdom, Tetuan Chaffetz Lindsey LLP di Amerika Syarikat dan Tetuan Allen & Gledhill di Singapura bertindak sebagai firma guaman.
“Firma guaman ini akan menasihati dan mengendalikan kes untuk mencabar pengiktirafan dan penguatkuasaan ‘final’ award oleh penuntut bagi kerajaan sebagai persediaan awal untuk sebarang tuntutan daripada penuntut di negara berkenaan,” katanya.
Kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan termasuk memfokus kepada keutamaan melindungi aset negara daripada ancaman mana-mana pihak luar.
Kerajaan juga tidak akan berhenti berusaha untuk melindungi dan memelihara kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa dan akan terus mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan Sultan Sulu dengan menggunakan segala kuasa, hak serta sumber yang ada.
Kerajaan turut menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Madrid pada tahun 2021 membatalkan pelantikan penimbang tara dan semua tindakan bersifat prosedur yang dibuat oleh penimbang tara itu.
Justeru award awal yang diberikan Dr Stampa adalah tidak diiktiraf selain kes ini adalah kes luar biasa membabitkan aspek kedaulatan negara dan prosiding timbang tara tidak berbangkit.
“Ketiga, award yang dikeluarkan sudah melanggar prinsip polisi awam antarabangsa khususnya membabitkan kekebalan diplomatik dan imuniti bidang kuasa Malaysia (award separa) (partial award) dan kedaulatan (andaian award akhir) (purported final award),” katanya.
Sekretariat khas tangani tuntutan kumpulan Sulu
Dalam perkembangan berkaitan, Azalina berkata, Kabinet minggu lalu bersetuju mewujudkan sekretariat khas yang berperanan sebagai jawatankuasa bertindak bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu.
Susulan itu satu platform ‘war room’ turut dibangunkan bagi memberi khidmat sokongan kepada sekretariat khas dan memantau perkembangan kes.
Beliau berkata, sekretariat khas itu juga untuk memastikan perbincangan dan penyelarasan tugasan yang lebih teratur, sistematik dan membabitkan semua pihak yang berkaitan isu ini.
“Sekretariat khas ini dipengerusikan saya dengan Timbalan Pengerusi adalah Peguam Cara Negara II, atau seorang penggantinya.
“Keahlian lain terdiri dari Kementerian Luar, Kementerian Komunikasi dan Digital, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan bahagian penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Peguam Besar Sabah dan pakar perundangan tempatan,” katanya.
Pada masa sama, Azalina berkata, ‘war room’ ini juga dibangunkan bagi memastikan semua tindakan yang diambil, sentiasa dipantau dan mendapat sokongan yang tuntas.
“Tujuan utama ‘war room’ ini adalah bagi memberi khidmat sokongan kepada sekretariat khas serta memantau kes perundangan, media antarabangsa serta strategi global bagi isu menangani tuntutan kumpulan Sulu,” katanya.
Azalina berkata, pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu pada 31 Januari 2018 memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Keadilan di Madrid, Sepanyol untuk melantik penimbang tara.
Beliau berkata, Mahkamah Madrid melantik Dr Gonzalo Stampa, penimbang tara antarabangsa yang berpusat di Madrid, Sepanyol sebagai penimbang tara secara rasmi pada 22 Mei 2019.
Awal bulan ini, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan perlembagaan luar biasa difailkan sekumpulan individu yang mendakwa diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu berhubung pembatalan pelantikan Dr Gondoza Stampa sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian antara Malaysia dan Sulu.
Sumber: Berita Harian