Terkini
Iktiraf UEC bukan keutamaan KPM, ulang Fadhlina
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekali lagi mengatakan bahawa usaha mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) bukanlah keutamaan kementerian itu.

- Fadhlina Sidek berkata sehingga kini KPM tidak mengiktiraf UEC berikutan berpegang kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
- KPM hanya menyalurkan peruntukan kepada kategori institusi pendidikan kerajaan dan bantuan kerajaan sahaja.
- SMPC bukan sebahagian daripada institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan seperti diperuntukkan di bawah seksyen 16 Akta 550.
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekali lagi mengatakan bahawa usaha mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) bukanlah keutamaan kementerian itu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata sehingga kini KPM tidak mengiktiraf UEC berikutan berpegang kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
“Sehingga kini KPM tidak mengiktiraf UEC yang dilaksanakan di SMPC dan KPM tidak melihat isu berbangkit tentang perkara itu sebagai keutamaan.
“Pendirian ini berlandaskan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] yang sentiasa menjadi pegangan KPM,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab pertanyaan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang).
Ahli Parlimen Marang itu meminta Fadhlina menyatakan apakah pendirian kementerian terhadap pengiktirafan UEC dan permohonan untuk menginstitusikan peruntukan kepada SMPC.
Berhubung peruntukan kepada SMPC, Fadhlina menjelaskan KPM hanya menyalurkan peruntukan kepada kategori institusi pendidikan kerajaan dan bantuan kerajaan sahaja.
Katanya, dalam konteks ini, SMPC bukan sebahagian daripada institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan seperti diperuntukkan di bawah seksyen 16 Akta 550.
Susulan itu, Fadhlina berkata KPM tiada obligasi untuk memperuntukkan atau menginstitusikan sebarang sumbangan modal mahupun sumbangan bantuan penuh kepada SMPC.
Disember lalu, media melaporkan Fadhlina berkata, bahawa usaha mengiktiraf UEC bukan keutamaan KPM sebaliknya kementerian akan memberi tumpuan utama kepada usaha dan menangani cabaran ekonomi serta kos sara hidup dihadapi rakyat. – The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login