Terkini
Dakyah tarik Hindu peluk Kristian masih satu ancaman – Presiden Hindu Sangam Malaysia
Dakyah Kristian kepada penganut Hindu masih dianggap sebagai ancaman, demikian kata Presiden Hindu Sangam Malaysia, Thanga Ganesan.
- Dakyah Kristian kepada penganut Hindu masih dianggap sebagai ancaman di Malaysia.
- “…Mereka (Kristian) menggunakan kemiskinan itu untuk memberi bantuan wang serta makanan, dan mempengaruhi mereka (Hindu) untuk menukar agama. Saya melihat itu sebagai ancaman lah,” – Presiden Hindu Sangam Malaysia, Thanga Ganesan.
- Seseorang tidak akan mudah terpengaruh untuk meninggalkan agama jika dia benar-benar faham akan ajaran agamanya sendiri.
- “Jangan ikut agama hanya semata-mata kerana ‘label’, tapi disebaliknya kamu tak faham pun ajarannya,” – Timbalan Presiden Buddhist Maha Vihara, A. Hemadasa.
Dakyah Kristian kepada penganut Hindu masih dianggap sebagai ancaman, demikian kata Presiden Hindu Sangam Malaysia, Thanga Ganesan.
Dia berkata demikian menjawab mengenai dakwaan ramai penganut Hindu yang memeluk agama Kristian.
“Ya, masih berlaku. Kalau kita tengok keluarga Hindu, ramai yang miskin. Mereka (Kristian) menggunakan kemiskinan itu untuk memberi bantuan wang serta makanan dan mempengaruhi mereka (Hindu) untuk menukar agama. Saya melihat itu sebagai ancaman lah,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times semalam.
Dia juga menegaskan yang menurut kepercayaan Hindu, perbuatan meninggalkan agama juga dianggap sebagai satu dosa.
“Kita ada hukum karma sendiri, karma yang menentukan kelahiran dan kehidupan seseorang… Karma yang tentukan kamu lahir sebagai Hindu atau agama lain. Jika karma menetapkan seseorang lahir sebagai Hindu, kita harapkan sampai mati pun mereka kekal sebagai Hindu”.
Bagaimanapun, keputusan untuk menukar agama itu tertakluk pada tahap pemahaman seseorang terhadap agamanya sendiri.
Ganesan berkata seseorang itu tidak akan mudah terpengaruh untuk meninggalkan agama jika dia benar-benar faham akan ajaran agamanya sendiri.
“Kalau dia (penganut Hindu) sudah matang dengan agama sendiri, dia takkan tukar agama. Kadangkala bila seseorang yang kurang kefahaman dengan agama sendiri telah ‘dikuasai’ oleh orang lain, itu yang membuatkan dia menukar agama,” tambahnya.
Pendapat sama turut dikongsikan Timbalan Presiden Buddhist Maha Vihara, A. Hemadasa.
Dia menganggap yang kurang kefahaman terhadap ajaran agama menjadikan agama ibarat tiada nilai dalam kehidupan seharian manusia.
“Jangan ikut agama hanya semata-mata kerana ‘label’, tapi disebaliknya kamu tak faham pun ajarannya,” kata Hemadasa ketika dihubungi semalam.
Berlainan dengan kepercayaan Hindu, kepercayaan Buddha pula tidak menganggap perbuatan menukar agama sebagai satu dosa.
“Tiada, kita tidak akan kata mereka akan ke neraka atau sebagainya. Itu pilihan mereka sendiri lah.
“Bagi kita (Buddha), itu adalah pilihan masing-masing. Kita tak anggap itu dosa atau kesalahan. Kita tak ajar macam itu. Asalkan manusia itu hidup dengan baik dan ikut jalan yang betul.”
Subramaniam turut menegaskan yang agama Hindu tidak menolak penukaran agama tetapi menolak taktik licik dan tipu helah beberapa gereja Kristian untuk melaksanakan tujuan itu. — The Merdeka Times