Terkini
Anwar diingatkan hati-hati guna kuasa PM & Menteri Kewangan – Ahli Parlimen PH
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan tidak terlalu gopoh dan agresif dalam menggunakan kuasanya membanteras rasuah, kerana berisiko melakukan pendakwaan terpilih yang menjadikan parti lawan sebagai mangsa.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan tidak terlalu gopoh dan agresif gunakan kuasanya banteras rasuah kerana berisiko melakukan pendakwaan terpilih jadikan parti lawan sebagai mangsa.
- Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PH, Hassan Abdul Karim mengakui bimbang selepas melihat seorang demi seorang Ahli Parlimen dan pembangkang serta bekas pemimpin dipanggil SPRM serta pihak berkuasa lain, serta ada dihadapkan ke mahkamah.
- “Semalam (21 Februari), YB Tasek Gelugor diheret ke mahkamah di bawah pertuduhan rasuah. Beberapa hari lalu, YB Pagoh disiasat SPRM, dan mantan Menteri Kewangan sewaktu Perdana Menteri keempat juga disiasat berkaitan Pandora Papers.”
- “Saya tiada masalah jika dari segi perundangan kerana proses biasa dan agensi siasatan seperti SPRM panggil kalau ada perkara berkaitan, tapi saya perlu nyatakan perlu berhati hati,” katanya.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan tidak terlalu gopoh dan agresif dalam menggunakan kuasanya membanteras rasuah, kerana berisiko melakukan pendakwaan terpilih yang menjadikan parti lawan sebagai mangsa.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengakui bimbang selepas melihat seorang demi seorang Ahli Parlimen dan pembangkang serta bekas pemimpin yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak berkuasa lain, serta ada yang dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan itu, Hassan memberi peringatan kepada Anwar supaya berhati-hati menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri, apatah lagi Presiden PKR itu turut memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.
“Semalam (21 Februari), Yang Berhormat (YB) Tasek Gelugor diheret ke mahkamah di bawah pertuduhan rasuah. Beberapa hari lalu, YB Pagoh disiasat SPRM, dan mantan Menteri Kewangan sewaktu Perdana Menteri keempat juga disiasat berkaitan Pandora Papers.
“Saya tiada masalah jika dari segi perundangan kerana ini proses biasa dan agensi siasatan seperti SPRM memanggil kalau ada perkara berkaitan, tapi saya perlu nyatakan kita perlu berhati hati.
“Sekarang kita boleh panggil semua menteri, mantan menteri kerana kita ada kuasa. SPRM, polis di bawah kita. Saya bimbang jika tak diberi peringatan, boleh berlaku pendakwaan terpilih, parti lawan kita jadi mangsa,” katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tase Gelugor) didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada syarikat yang menerima kontrak projek Jana Wibawa, namun Ketua Penerangan BERSATU itu mengaku tidak bersalah.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan memanggil Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berhubung siasatan projek Jana Wibawa, selain seorang bekas Menteri Kewangan dan anak bekas Perdana Menteri pula diambil keterangan oleh SPRM dalam siasatan berkait pendedahan Pandora Papers.
Mengulas lanjut, Hassan yakin dengan integriti dan kesungguhan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun untuk membanteras rasuah, namun beliau mengingatkan Perdana Menteri mengenai kesan buruk pemusatan kuasa pada seorang individu.
Katanya, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu menjadi peringatan buat Anwar mengenai risiko apabila seorang Perdana Menteri turut memegang jawatan Menteri Kewangan.
“Saya tidak ada malafide atau niat tak baik, hanya untuk mengingatkan kuasa cenderung menyebabkan korupsi. ‘Asolute power corrupt absolutely’. Kuasa itu mesti digunakan dengan cermat, jangan terburu-buru.
“Saya tidak mahu berlaku lagi peristiwa 1MDB, di mana Perdana Menteri ketika itu juga menjadi Menteri Kewangan. Kita lihat apa kesannya sekarang,” katanya.
Sumber: Berita Harian