Terkini
Struktur semula TVET, lebih berfokus elak pembaziran – KBS
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) distruktur semula supaya kursus yang dilaksanakan itu lebih berfokus, sekali gus mengelak pembaziran wang kerajaan.

- Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata disebabkan program TVET dilaksanakan pelbagai kementerian, menjadi kekeliruan pemain industri selain kebanyakan kursus ditawarkan tidak lagi relevan dengan minat anak muda kini.
- “Oleh itu, KBS akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menstruktur semula TVET dan tidak perlu semua kementerian membuat program masing-masing kerana ia akan menjadikan program ini tidak terurus, tidak berfokus serta banyak pembaziran.
- “Contohnya satu kementerian memerlukan RM50 juta untuk menaik taraf program, namun pengambilan pelajarnya tidak maksimum dan dari segi itu terdapat juga pembaziran pada isu tenaga kerja,” katanya.
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) distruktur semula supaya kursus yang dilaksanakan itu lebih berfokus, sekali gus mengelak pembaziran wang kerajaan.
Menterinya, Hannah Yeoh, berkata disebabkan program TVET itu dilaksanakan oleh pelbagai kementerian, ia memberi kekeliruan kepada pemain industri selain kebanyakan kursus ditawarkan tidak lagi relevan dengan minat anak muda kini.
“Setiap kementerian mempunyai program masing-masing dan bila mereka tamat latihan, ia memberikan kekeliruan kepada pemain industri kerana tidak dapat membezakan siapa yang terlebih dahulu tamat latihan serta pemberian gaji kepada individu berkenaan.
“Oleh itu, KBS akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk menstruktur semula TVET dan tidak perlu semua kementerian membuat program masing-masing kerana ia akan menjadikan program ini tidak terurus, tidak berfokus serta banyak pembaziran.
“Contohnya satu kementerian memerlukan RM50 juta untuk menaik taraf program, namun pengambilan pelajarnya tidak maksimum dan dari segi itu terdapat juga pembaziran pada isu tenaga kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang Kedua, penggal ke-33 bagi sesi 2021-2022, di Pusat Belia Antarabangsa, hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
Mengulas lanjut, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, kursus yang ditawarkan dalam program itu juga berkemungkinan tidak lagi relevan dengan jiwa anak muda yang mahukan masa kerja lebih fleksibel atau meminati ekonomi gig.
“Dengan adanya ekonomi gig, belia kini lebih pentingkan masa kerja yang fleksibel dan memberi pandangan berbeza kepada mereka untuk melihat program TVET ini.
“Kalau tanya anak-anak sekarang, ramai daripada mereka kini lebih minat menjadi ‘youtuber’ mahupun pempengaruh (influencer), jadi kalau kita masih tawarkan kursus yang tidak menarik perhatian golongan muda ini, kita tidak dapat penyertaan yang menyeluruh daripada golongan ini,” katanya.
Hannah berkata, TVET penting bagi menangani isu pengangguran dan disebabkan itu kebolehpasaran belia perlu dipertingkatkan melalui latihan kemahiran yang lebih berimpak tinggi.
Katanya, data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 30 tahun kini menunjukkan penurunan iaitu sejumlah tujuh peratus dicapai kini berbanding 7.4 peratus pada Oktober tahun lalu.
“Jadi saya percaya bidang latihan kemahiran ini akan memberikan peluang kepada belia untuk mencipta dan mencari pekerjaan seterusnya membantu menurunkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.
“Oleh itu belia yang mempunyai latihan kemahiran ini mampu berdaya saing, berdaya maju dan menjadi pilihan utama pihak industri,” katanya.
Sementara itu, bagi menangani isu belia muflis, Hannah memaklumkan pihaknya sedang merangka strategi intervensi bagi membantu lebih 10,507 individu berusia 25 hingga 34 tahun yang kini diisytiharkan sebagai muflis untuk keluar daripada belenggu berkenaan.
“Kita sudah mulakan perbincangan dengan beberapa kementerian khasnya Kementerian Kewangan serta Jabatan Insolvensi bagaimana untuk membantu golongan ini.
“KBS bukannya mahu buat program kesedaran, tetapi kita akan buat insolvensi dan dasar untuk keluarkan mereka daripada kategori ini. Kalau lebih 10,000 orang muda pada usia 20-an sudah muflis, sudah tentu mereka tidak dapat mencari pekerjaan, membuka akaun serta membeli rumah walhal ini adalah perkara penting untuk seorang belia.
“Namun dengan cara apa kita nak lakukan, ia masih dalam perbincangan dengan kementerian lain,” katanya.
Sumber: Berita Harian
