Terkini
Jualan vape kepada pelajar sekolah berleluasa, RUU Kawalan Tembakau perlu dibentang segera
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa perlu segera membentangkan Rang Undang-Undang Tembakau Pindaan 2023 di Parlimen untuk mengelakkan generasi muda di negara ini semakin punah angkara rokok dan vape.

- Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa digesa segera membentangkan Rang Undang-Undang Tembakau Pindaan 2023 di Parlimen untuk mengelakkan generasi muda semakin punah angkara rokok dan vape.
- Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah menyatakan gesaan itu kerana ketika ini semakin ramai pelajar sekolah terjebak dengan vape sehingga menyebabkan ketagihan.
- Tinjauan The Merdeka Times di ruangan komen rata-rata netizen mahu Menteri Kesihatan haramkan penggunaan vape di Malaysia susulan melihat generasi hari ini yang seawal usia lapan tahun sudah berjinak dengan rokok elektronik itu.
- Di pasaran hari ini, kita boleh mendapatkan vape berwarna-warni, menyerupai bentuk alat permainan, berbentuk kartun comel dan berperisa buah-buahan, seolah-olah dengan dengan jelas menyasarkan golongan kanak-kanak di peringkat sekolah.
KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa perlu segera membentangkan Rang Undang-Undang Tembakau Pindaan 2023 di Parlimen untuk mengelakkan generasi muda di negara ini semakin punah angkara rokok dan vape.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah menyatakan gesaan itu kerana ketika ini semakin ramai pelajar sekolah terjebak dengan vape sehingga menyebabkan ketagihan.
“Selagi Akta GEG dan kawalan vape tidak dibentangkan di Parlimen dan diluluskan oleh ahli Yang Berhormat selama itulah saya semakin rimas dan tidak boleh duduk diam dengan suasana penjualan vape dalam negara kita.
“Promosi mereka terlalu kreatif sehingga boleh menarik minat anak-anak kita untuk mencubanya.
“Pod vape seumpamanya ini sudah masuk ke sekolah dan anak remaja di sekolah mula menghisapnya. Atas pengaruh kawan, penagih baharu akan terjebak sama.
“Guru seolah tiada kuasa untuk menyekatnya sebab tiada punca kuasa untuk disabitkan. Apatah lagi mereka menghisap diluar pintu pagar sekolah!” kata Dr Suhazeli dalam hantarannya di Facebook pada Ahad lalu.
Beliau turut meluahkan kesedihan berikutan ada pihak didakwa berusaha mengganggu-gugat draf akta itu yang sepatutnya sudah tersedia untuk dibentangkan di Parlimen pada Mac ini.
Katanya, pihak terbabit didakwa sedaya upaya mahu mengubah akta itu untuk memasukkan vape sebagai salah satu dari kaedah Harm Reduction, di mana isu berkenaan sudah dibahaskan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada sesi lalu.
Tinjauan The Merdeka Times di ruangan komen mendapati rata-rata netizen mahu Menteri Kesihatan mengharamkan penggunaan vape di Malaysia susulan melihat generasi hari ini yang seawal usia lapan tahun sudah berjinak dengan rokok elektronik itu.
Netizen turut meluahkan kebimbangan apabila vape begitu mudah didapati dipasaran dengan promosi peniaga yang disifatkan sebagai hebat dan bijak kerana menawarkannya dalam pelbagai perisa dan bentuk.
Di pasaran hari ini, kita boleh mendapatkan vape yang berwarna-warni, menyerupai bentuk alat permainan, berbentuk kartun comel dan berperisa buah-buahan, seolah-olah dengan jelas menyasarkan golongan kanak-kanak di peringkat sekolah.
Antara tangkapan layar komen netizen di Facebook:

Foto: Tangkap layar komen netizen di Facebook.
Disember lalu, Dr Zaliha dilaporkan berkata akan meneliti semula Dasar Generasi Penamat (GEG), dari segi pelaksanaannya menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, yang belum diluluskan di Parlimen.
RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok antaranya melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok, termasuk rokok elektronik atau ‘vape’ kepada individu yang dilahirkan pada 1 Jan 2007 dan tahun seterusnya, bagi tujuan melahirkan Generasi Penamat bagi merokok.
Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Khairy Jamaluddin pada 27 Julai lalu tetapi kemudiannya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi. – The Merdeka Times
Sumber : Facebook Dr Suhazeli Abdullah
