Terkini
Haram beri PrEP pada pasangan homoseksual – Mufti Sabah
Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berpandangan haram ubat PrEP diberikan kepada pengamal homoseksual yang negatif HIV..

- Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berpandangan haram ubat Pre-exposure prophylaxis (PrEP) diberikan kepada pengamal homoseksual yang negatif HIV sekiranya semata-mata ingin mencegah mereka dijangkiti penyakit itu.
- Pemberian ubat PrEP kepada golongan itu juga bercanggah dengan maqasid syariah dan dasar-dasar Islam yang menghalang daripada membantu kemungkaran.
- Kenyataan itu adalah pandangan peribadi beliau selaku mufti di negeri bawah bayu memandangkan kajian masih dijalankan dan sebarang fatwa berkenaan bakal dikeluarkan kelak.
KUALA LUMPUR – Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berpandangan haram ubat Pre-exposure prophylaxis (PrEP) diberikan kepada pengamal homoseksual yang negatif HIV sekiranya semata-mata ingin mencegah mereka dijangkiti penyakit itu.
Beliau berkata pemberian ubat PrEP kepada golongan itu juga bercanggah dengan maqasid syariah dan dasar-dasar Islam yang menghalang membantu kemungkaran.
Bagaimanapun, katanya, kenyataan itu adalah pandangan peribadi beliau selaku mufti di negeri bawah bayu memandangkan kajian masih dijalankan dan sebarang fatwa berkenaannya bakal dikeluarkan kelak.
“Perkara ini adalah dilarang oleh agama kerana kita asas kepada membantu kemungkaran sedangkan ayat al-quran jelas mengatakan jangan kamu bertolong-tolongan perkara-perkara mungkar, termasuk menolong orang dalam melakukan perkara dosa dan kemungkaran.
“Oleh kerana dia melakukan perkara dilarang agama maka sesuatu yang boleh membantu atau memotivasikan dia supaya terus melakukan maksiat tersebut adalah dilarang.
“Kita tidak menafikan hak mereka tapi sebenarnya kita menjaga hak orang ramai daripada dijangkiti penyakit yang dilaknat oleh Allah,” kata beliau ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
Beliau berkata golongan ini boleh menggunakan hujah mereka berhak mendapatkan kesihatan baik dan tidak dijangkiti HIV, namun mereka juga perlu sedar bahawa pada masa sama mereka turut menafikan hak majoriti rakyat yang membenci perbuatan songsang itu.
Katanya, agama melarang kalau kita membenarkan mereka kerana perbuatan homoseksual itu boleh ‘menjangkiti’ orang lain.
“Negara kita antara yang tegas mengharamkan rainbow color (simbol LGBT) cuma penguatkuasaan itu biasalah, mana-mana undang-undang ada dapat diperkuatkuasakan ada separuh-separuh.
“Tapi pokoknya mesti ada undang-undang tegas bagi membanteras golongan LGBT yang dilaknat oleh Allah, kita tidak ada kompromi.
“Jadi salah satu kita tidak kompromi kita tidak boleh menggalakkan kerana macam mana kita mengharamkan tapi kita menggalakkan pula mereka dengan cara beri ubat beri suntikan… Lagi la mereka suka sebab rasa mereka selamat,” katanya.
Mengulas pandangan sesetengah pihak yang menyifatkan isu PrEP ini bukan di bawah bidang kuasa agamawan mahupun mufti sebaliknya di bawah perubatan, Bungsu @ Aziz Jaafar berkata selaku agamawan bidang kuasa mereka adalah merangkumi semua perkara dalam memberikan panduan dan nasihat.
Menurutnya, Islam itu diturunkan adalah untuk mengatur seluruh kehidupan manusia jadi para mufti dan ahli-ahli agama lain perlu mengambil tahu semua perkara khususnya apabila melibatkan perkara-perkara yang boleh mengancam akidah, hukum-hakam syariat, akhlak manusia dan lain-lain.
Terbaharu, Jabatan Mufti Negeri Selangor dilaporkan berkata pemberian PrEP kepada mereka yang diketahui mengamalkan cara hidup homoseksual adalah dilarang kerana ia dianggap sebagai bersubahat di dalam perkara dosa dan kemaksiatan.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan dilaporkan akan melakukan projek rintis berkenaan penggunaan ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.
Ubat PrEP secara percuma itu akan diberikan kepada golongan berisiko dijangkiti HIV, termasuk komuniti LGBT, di mana ia menimbulkan perdebatan di antara pengamal perubatan, terutama doktor Muslim. – The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login