Connect with us

Antarabangsa

NGO asing gantung operasi di Afghanistan

Beberapa agensi bantuan asing pada Ahad mengumumkan ia menggantung operasi di Afghanistan selepas pemerintah Taliban mengarahkan kesemua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya memberhentikan kakitangan wanita mereka.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

NGO asing gantung operasi di Afghanistan
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Beberapa agensi bantuan asing pada Ahad gantung operasi di Afghanistan selepas pemerintah Taliban arah kesemua NGO berhentikan kakitangan wanita.
  • Susulan pengumuman itu, wakil PBB di Kabul beri amaran langkah drastik tersebut akan beri impak besar kepada bantuan kemanusiaan disalurkan ke negara berkenaan.
  • “Jutaan penduduk bergantung sepenuhnya kepada bantuan akan terkesan malah ekonomi negara ini yang terumbang-ambing juga akan menjadi semakin teruk.”
  • “Kami tidak boleh beri bantuan kepada golongan memerlukan tanpa penglibatan staf wanita. Kami berharap kakitangan lelaki dan wanita dapat bekerjasama meneruskan bantuan menyelamatkan nyawa di Afghanistan,” ujar Save the Children, Majlis Pelarian Norway dan CARE dalam satu kenyataan bersama.

KABUL – Beberapa agensi bantuan asing pada Ahad mengumumkan ia menggantung operasi di Afghanistan selepas pemerintah Taliban mengarahkan kesemua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya memberhentikan kakitangan wanita mereka.

Susulan pengumuman itu, wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kabul memberi amaran langkah drastik tersebut akan memberi impak besar kepada bantuan kemanusiaan yang disalurkan ke negara berkenaan.

“Jutaan penduduk yang bergantung sepenuhnya kepada bantuan akan terkesan malah ekonomi negara ini yang terumbang-ambing juga akan menjadi semakin teruk.

“Penglibatan golongan wanita untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan ini adalah amat penting,” kata Timbalan Wakil Khas PBB untuk Afghanistan, Ramiz Alakbarov.

Jelasnya, mereka akan berbincang dengan pihak berkuasa Taliban tentang cadangan untuk menarik semula larangan tersebut.

“Kami tidak boleh memberi bantuan kepada golongan memerlukan tanpa penglibatan staf wanita. Kami berharap kakitangan lelaki dan wanita dapat bekerjasama untuk meneruskan bantuan menyelamatkan nyawa di Afghanistan,” ujar Save the Children, Majlis Pelarian Norway dan CARE dalam satu kenyataan bersama.

Larangan terbaharu terhadap golongan itu diumumkan beberapa hari selepas penuntut wanita dilarang memasuki universiti hingga mencetuskan siri bantahan di beberapa bandar di Kabul.

Difahamkan, pemerintah Taliban turut memberi amaran akan menggantung lesen operasi agensi bantuan yang gagal mematuhi arahan mereka.

Menurut jurucakapnya, beberapa aduan diterima mengenai wanita yang bekerja dengan NGO termasuk tidak mematuhi kod pakaian dan peraturan ketat pemisahan jantina yang ditetapkan Taliban.

Sementara itu, salah seorang kakitangan wanita yang terkesan yang hanya dikenali sebagai Shabana, 24, turut menyuarakan rasa kesal.

“Jika saya hilang pekerjaan ini, keluarga saya yang terdiri daripada 15 orang akan mati kelaparan memandangkan saya menjadi satu-satunya harapan mereka untuk mencari sumber pendapatan,” katanya yang telah bekerja dengan NGO asing sejak beberapa dekad lalu. – AFP

Info:

>Sebahagian NGO yang beroperasi di Kabul mempunyai sehingga 2,000 staf wanita dan kebanyakannya adalah pencari nafkah utama dalam keluarga.

Sumber : Sinar Harian

 

 

Author