Antarabangsa
(VIDEO) New Zealand lulus undang-undang larangan seumur hidup pembelian rokok ke atas anak muda
New Zealand meluluskan undang-undang rancangan menghentikan rokok tembakau secara berperingkat semalam, dengan mengenakan larangan seumur hidup ke atas golongan muda membeli rokok.

- New Zealand semalam meluluskan undang-undang melarang penjualan tembakau kepada individu yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2009.
- Matlamat mereka ialah menjadikan New Zealand bebas rokok menjelang 2025.
- Bilangan peruncit yang dibenarkan menjual tembakau juga dikurangkan daripada kira-kira 6,000 kepada 600.
- “Tiada alasan kukuh untuk membenarkan penjualan produk yang membunuh separuh orang yang menggunakannya,” – Menteri Kesihatan Bersekutu New Zealand, Dr Ayesha Verrall.
New Zealand meluluskan undang-undang rancangan menghentikan rokok tembakau secara berperingkat semalam, dengan mengenakan larangan seumur hidup ke atas golongan muda membeli rokok.
Memetik laporan Now This News, undang-undang itu menyatakan yang tembakau tidak boleh dijual kepada individu yang dilahirkan pada atau selepas 1 Januari 2009.
Ini bermakna umur minimum untuk membeli rokok akan terus meningkat. Secara teorinya, seseorang yang cuba membeli rokok 50 tahun dari sekarang memerlukan pengenalan diri menunjukkan mereka berumur sekurang-kurangnya 63 tahun.
Tetapi pihak berkuasa kesihatan berharap perbuatan merokok akan ‘pupus’ sebelum itu. Matlamat mereka ialah menjadikan New Zealand bebas rokok menjelang 2025.
View this post on Instagram
Undang-undang baharu itu juga mengurangkan bilangan peruncit yang dibenarkan menjual tembakau daripada kira-kira 6,000 kepada 600 dan mengurangkan jumlah nikotin yang dibenarkan dalam tembakau yang dihisap.
“Tiada alasan kukuh untuk membenarkan penjualan produk yang membunuh separuh orang yang menggunakannya,” kata Menteri Kesihatan Bersekutu, Dr Ayesha Verrall di Parlimen.
“Dan saya boleh memberitahu anda yang kita akan menamatkan ini pada masa hadapan, kerana kami meluluskan undang-undang ini,” tambahnya
Mengulas lanjut, Dr Ayesha berkata sistem itu bakal menjimatkan berbilion dolar kerana tidak perlu merawat penyakit yang berpunca daripada rokok, seperti kanser, serangan jantung, strok, dan amputasi. Selain itu, ia akan mewujudkan perubahan generasi dan meninggalkan legasi kesihatan yang lebih baik untuk belia.
Meskipun rang undang-undang itu ditentang parti libertarian ACT dengan alasan ia akan mewujudkan pasaran gelap rokok akibat peniaga tidak boleh menjualnya secara sah, ia tetap mendapat sokongan majoriti penggubal undang-undang.
Undang-undang itu bagaimanapun tidak termasuk rokok elektronik (vape).
Sumber: Now This News
