Terkini
Jangan ambil tindakan terhadap pendakwah, AJK masjid berlainan fahaman politik
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap pendakwah termasuk ahli jawatankuasa (AJK) masjid hanya kerana berlainan fahaman politik.
- Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap pendakwah termasuk AJK masjid hanya kerana berlainan fahaman politik.
- Pengerusi PN berkata demikian selepas membaca berita mengenai pendakwah-pendakwah yang dilarang memberi kuliah di masjid dan di TV.
- Muhyiddin juga melihat video viral AJK masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri.
- Ahli parlimen Pagoh itu turut menegaskan, pengurusan masjid yang memilih AJK secara demokratik oleh ahli kariah tidak harus dipolitikkan.
SHAH ALAM – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap pendakwah termasuk ahli jawatankuasa (AJK) masjid hanya kerana berlainan fahaman politik.
Menurutnya, pihak berwajib yang mentadbir urusan agama Islam tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan orang Islam menimba ilmu di tempat perhimpunan.
“Saya telah membaca berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan juga di televisyen. Ada juga yang video Tik Tok ceramah mereka disekat.
“Saya juga melihat video yang viral berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang telah dipilih oleh ahli-ahli kariah.
“Saya berharap pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap para pendakwah dan AJK masjid semata-mata kerana berlainan fahaman politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Muhyiddin juga menegaskan, pengurusan masjid yang memilih AJK secara demokratik oleh ahli kariah tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri.
Katanya, sokongan terbuka dinyatakan oleh pendakwah bebas dan artis terkenal dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu terhadap PN dan parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.
“Justeru, selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik.
“Baru boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif,” katanya.
Baru-baru ini, tular video memaparkan seorang wakil AJK mengumumkan pengisytiharan peletakan jawatan 14 lagi anggota masjid Abu Ubaidah Ibni-Jarrah, Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, berkuatkuasa 1 Januari 2023.
Ia susulan Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang telah menafikan hak demokrasi ahli kariah iaitu melalui pelantikan jawatankuasa yang diadakan 28 Ogos lalu.
Sumber: Sinar Harian
Antarabangsa
Israel bom depot senjata berdekatan pangkalan udara Russia di Syria
Letupan besar dan kebakaran berdekatan lapangan terbang dan pangkalan udara di Syria dilaporkan hari ini dengan Syriawatan News mendakwa sebuah gudang penyimpanan senjata diserang.
- Letupan besar dan kebakaran berdekatan lapangan terbang dan pangkalan udara di Syria dilaporkan hari ini dengan Syriawatan News mendakwa sebuah gudang penyimpanan senjata diserang.
- Insiden itu berlaku berhampiran Pangkalan Udara Khmeimim Russia dan Lapangan Terbang Bassel al-Assad di Jableh, Syria.
- Terdapat dakwaan bahawa pesawat Russia terlibat dalam usaha memintas peluru berpandu di kawasan itu.
- Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Pertahanan udara Russia dan Syria memintas peluru berpandu selama sekurang-kurangnya 40 minit di Latakia, lapor Sky News Arabia.
Letupan besar dan kebakaran berdekatan lapangan terbang dan pangkalan udara di Syria dilaporkan hari ini dengan Syriawatan News mendakwa sebuah gudang penyimpanan senjata diserang.
Insiden itu berlaku berhampiran Pangkalan Udara Khmeimim Russia dan Lapangan Terbang Bassel al-Assad di Jableh, Syria.
Terdapat dakwaan bahawa pesawat Russia terlibat dalam usaha memintas peluru berpandu di kawasan itu.
Pertahanan udara Russia dan Syria dilaporkan memintas peluru berpandu selama sekurang-kurangnya 40 minit.
Terdapat dakwaan bahawa pertahanan udara memintas peluru berpandu di luar pantai Jableh, sebuah bandar di barat laut Syria, dengan anggaran 30 peluru berpandu dilancarkan.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Pertahanan udara Russia dan Syria memintas peluru berpandu selama sekurang-kurangnya 40 minit di Latakia, lapor Sky News Arabia.
Laporan tempatan lain mencadangkan sebuah pesawat Iran di lapangan terbang mungkin turut menjadi sasaran.
Israel yang sering menjalankan operasi terhadap sasaran berkaitan dengan Iran di Syria belum memberikan sebarang komen mengenai insiden letupan itu. — The Merdeka Times