Terkini
Ibu bapa tolak tuduhan cuba kaitkan PASTI, SRITI dengan ekstremisme
Sekumpulan ibu bapa menolak tuduhan tidak berasas pihak tertentu yang cuba mengaitkan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dengan ekstremisme.
- Sekumpulan ibu bapa menolak tuduhan tidak berasas pihak tertentu yang cuba mengaitkan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dengan ekstremisme.
- “Setakat ini tiada pula elemen keganasan diterapkan kepada mereka. Masih berlandaskan pendidikan mengikut al-Quran dan sunah,” kata Haziatul Idah Abdul Razak.
- Ziema Julkifli dalam hantaran FBnya menyifatkan wartawan The Vibes sebagai tidak beretika ketika mengajukan soalan itu kepada Menteri Pendidikan.
- “Saya sebagai ibu kepada anak yang bersekolah di PASTI dan SRITI sangat tidak bersetuju dengan tuduhan beliau,” kata Ziema.
- Seorang lagi pengguna FB, Izzat Ghazali dalam hantaran FBnya menggesa pemberita berkenaan menunjukkan bukti pelampau yang dimaksudkannya.
KUALA LUMPUR – Sekumpulan ibu bapa menolak tuduhan tidak berasas pihak tertentu yang cuba mengaitkan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dengan ekstremisme.
Haziatul Idah Abdul Razak, 43, ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini berkata, beliau tidak menjumpai tindak-tanduk itu dalam diri anaknya yang bersekolah dalam aliran agama.
“Setakat ini tiada pula elemen keganasan diterapkan kepada mereka. Masih berlandaskan pendidikan mengikut al-Quran dan sunah,” katanya.
Haziatul bagaimanapun berharap agar anak-anaknya mengamalkan cara hidup Islam selain mempunyai jati diri kuat bagi mengharungi kehidupan penuh cabaran.
Pengguna Facebook, Ziema Julkifli pula menyifatkan wartawan The Vibes sebagai tidak beretika kerana menuduh tanpa menyelidik hingga ke akar umbi ketika mengajukan soalan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Sidang Media Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Putrajaya, semalam.
“Saya sebagai ibu kepada anak yang bersekolah di PASTI dan SRITI sangat tidak bersetuju dengan tuduhan beliau.
“Sepanjang anak-anak saya bersekolah di PASTI dan SRITI tidak pernah saya dengar sedikit pun mereka bercerita berkaitan politik.
“Apatah lagi keganasan dan ekstremis walaupun sekolah adalah sepenuhnya di bawah kelolaan parti PAS. Di manakah relevennya mengaitkan ekstremis dengan PASTI dan SRITI?,” katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Izzat Ghazali dalam hantarannya hari ini menggesa pemberita berkenaan untuk menunjukkan bukti pelampau (ekstremis) yang dimaksudkannya.
“Wujudkah ekstremisme dalam ajaran agama? Apa-apa yang melampaui batas, menzalimi orang lain adalah bukan ajaran Islam.
“Justeru, ia tidak boleh dinisbahkan kepada agama bahkan sikap manusia tersendiri, kerana Islam tidak mengajar bahkan melarang pengikutnya bersikap melampau.
“Kalaulah benar PASTI dan SRITI mengajar muridnya untuk menjadi rasis dan ekstrem, maka ketahuilah ia gagal dengan sangat teruk,” katanya.
Beliau berkata sehingga ke hari ini alumni PASTI dan SRITI berjaya berasimilasi dengan baik sesama masyarakat. – The Merdeka Times