Terkini
Dong Zong jangan jadi kurang ajar dan biadab – Veteran UMNO
Veteran UMNO kesal dengan sikap Dong Zong yang didakwa rakus dan biadab mendesak kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan memberi bantuan tetap tahunan kepada sekolah-sekolah persendirian Cina.
- Veteran UMNO kesal dengan sikap Dong Zong yang didakwa rakus dan biadab mendesak kerajaan mengiktiraf Sijil UEC.
- Tidak cukup dengan itu, pertubuhan berkenaan juga memohon kerajaan agar memberi bantuan tetap tahunan kepada sekolah-sekolah persendirian Cina.
- Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Dong Zong tidak menghormati status kerajaan yang masih belum menubuhkan Kabinetnya.
- “Kalau pun Dong Zong tidak sabar untuk menuntut janji dari PH, tunggulah sehingga Kabinet ditubuhkan. Jangan jadi kurang ajar dan tiada adab,” katanya.
KUALA LUMPUR – Veteran UMNO kesal dengan sikap Dong Zong yang didakwa rakus dan biadab mendesak kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan memberi bantuan tetap tahunan kepada sekolah-sekolah persendirian Cina.
Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, desakan Dong Zong itu langsung tidak menghormati status kerajaan yang masih belum menubuhkan Kabinetnya.
“Memang benar Pakatan Harapan (PH) menjanjikan untuk mengiktiraf UEC sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Tapi Dong Zong keliru apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan dan bukannya kerajaan PH. Jadi janji PH dalam manifestonya tidak semestinya ditunaikan.
“Kalau pun Dong Zong tidak sabar untuk menuntut janji dari PH, tunggulah sehingga Kabinet ditubuhkan. Jangan jadi kurang ajar dan tiada adab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini media melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif Dong Zong, Leong Seng Yee berkata, pihaknya akan bertemu Menteri Pendidikan yang baharu untuk mencadangkan supaya kerajaan mengiktiraf UEC.
Mustafa menambah, Veteran UMNO berharap Dong Zong berhenti mempolitikkan isu sekolah Cina dan pengiktirafan terhadap UEC.
Beliau mengingatkan negara ini mempunyai dasar pendidikan kebangsaan yang mesti dipatuhi oleh semua rakyat.
“Sikap seperti yang ditunjuk oleh Dong Zong itu menjadi penghalang kepada pencapaian dasar tersebut sekaligus menggagalkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan penyatuan bangsa Malaysia melalui pendidikan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
Sumber: Malaysia Gazette