Antarabangsa
Kritik transgender, bekas bintang bola sepak Greece dipenjara & denda lebih RM20 ribu
Mahkamah salah laku Athens menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda 5,000 euro (RM23,588) kepada bintang bola sepak Greece bersara kerana membuat hantaran “transfobik” di Facebook sejak 2017 iaitu kes pertama seumpamanya di negara itu.

- Mahkamah salah laku Athens menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda 5,000 euro (RM23,588) kepada bintang bola sepak Greece bersara kerana membuat hantaran “transfobik” di Facebook sejak 2017 iaitu kes pertama seumpamanya di negara itu.
- Bekas pemain pasukan bola sepak kebangsaan Greece, Vasilis Tsiartas menjadi sasaran tindakan undang-undang berikutan tuntutan mahkamah difailkan aktivis trans Yunani terkenal, Marina Galanos.
- Ia berikutan Undang-undang pengenalan diri jantina Greece pada 2017 menetapkan bukan lagi keperluan untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan bagi mana-mana individu menukar gender selain menurunkan umur minimum kepada 15 tahun.
- Gereja Ortodoks Yunani juga dilapor menentang undang-undang itu dan menyeru agar ia ditarik balik.
Mahkamah salah laku Athens menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda 5,000 euro (RM23,588) kepada bintang bola sepak Greece bersara kerana membuat hantaran “transfobik” di Facebook sejak 2017 iaitu kes pertama seumpamanya di negara itu.
Transfobik merujuk kepada perlakuan anti-transgender atau transeksual.
Bekas pemain pasukan bola sepak kebangsaan Greece, Vasilis Tsiartas menjadi sasaran tindakan undang-undang berikutan tuntutan mahkamah difailkan aktivis trans Yunani terkenal, Marina Galanos, demikian lapor Reduxx.
Ia berikutan Undang-undang pengenalan diri jantina Greece pada 2017 menetapkan bukan lagi keperluan untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan bagi mana-mana individu menukar gender selain menurunkan umur minimum kepada 15 tahun.
Sebelum ini, mereka yang ingin menukar jantina pada dokumen rasmi perlu menjalani pembedahan menukar jantina dan melaksanakan ujian sepenuhnya.
Sebagai respon balas kepada kandungan rang undang-undang itu, Tsiartas, yang mempunyai pandangan politik konservatif, menggunakan Facebook untuk menyatakan fikirannya.
Menurut You Weekly, Tsiartas menulis; “Perubahan jantina pertama harus dilakukan anak-anak mereka yang menyokong perkara memalukan ini. Mari lihat apa kebanggaan mereka. PS: Menghalalkan pedofilia dan menyelesaikan jenayah.”
Beberapa jam kemudiannya, Tsiartas juga menulis: “Tuhan menciptakan Adam dan Hawa”.
Tsiartas bukanlah satu-satunya warga Greece terkenal yang lantang menentang kelulusan rang undang-undang itu pada 2017.
Kyriakos Mitsotakis, seorang ahli politik dan ketua Parti Demokrasi Baru yang berhaluan kanan tengah, turut menggunakan media sosial untuk menyatakan pandangannya dalam isu itu.
“Tidak dapat dibayangkan bila kita menghalang kanak-kanak berumur 15 tahun mengambil alkohol, namun membolehkan mereka membuat keputusan yang begitu penting (menukar jantina),“ tulis Mitsotakis di Facebook yang juga ketika itu menjadi penyandang Perdana Menteri Greece.
Gereja Ortodoks Yunani juga menentang undang-undang itu dan menyeru agar ia ditarik balik.
Gereja juga menerbitkan kenyataan yang mengatakan rang undang-undang itu “menentang adat dan akal sehat, dan di atas semua, memusnahkan orang.”
Bagaimanapun, hanya Tsiartas menjadi sasaran aktivis berkenaan sekalipun pada 2021, Galanos dilaporkan meninggal dunia semasa prosiding masih berlangsung.
Di Twitter, Tsiartas menyatakan dia merancang merayu sabitan itu dan akan menyiarkan butiran lanjut mengenai pelan tindakan undang-undangnya minggu ini.
Sumber : Reduxx
